Hiburan
Pendidikan Seks Kepada Anak-Anak, Perlu Atau Tidak?
Kalau anda sudah menonton filem Dua Garis Biru, anda akan faham mengapa pendidikan dan pengetahuan tentang seks itu penting untuk didedahkan kepada anak-anak, terutama anak perempuan.
Ha..jangan cepat melatah. Pendidikan seks bukan sahaja mengenai hubungan seks semata-mata tetapi juga mengenai hubungan yang bersifat mengambil kesempatan.
Ramai yang terlepas pandang bahawa jenayah seks dan cara untuk mengelak daripada menjadi mangsa juga sebahagian daripada pendidikan seks.
Menerusi filem Dua Garis Biru kita dapat lihat bagaimana ibu bapa Bima dan Dara kecewa selepas mengetahui tentang anak-anak mereka yang memalukan dan menjatuhkan maruah keluarga.
Namun, nasi sudah menjadi bubur dan keluarga mereka (Bima dan Dara) berusaha untuk mencari penyelesaian dan menerima remaja berusia 17 tahun itu kembali.
Yang sebenarnya sutradara Gina S. Noer sudah mengkaji tentang gejala sosial melibatkan salah laku seks di kalangan remaja bawah umur yang semakin kerap berlaku akhir-akhir ini.
Gina turut meletakkan dirinya iaitu, seorang ibu yang risau tentang anaknya yang sedang menginjak dewasa dan cabaran membesarkan anak-anak pada zaman millenial ini.
“Sebelum menulis tentang filem ini saya sering risau dengan laporan media mengenai salah laku remaja masa kini…Di mana silapnya? Adakah kerana kurang pendedahan mengenai seks atau keluarga tidak selalu meluangkan masa bersama anak-anak?
“Saya gusar lalu, meluahkan tentangnya menerusi Dua Garis Biru. Saya harap mesej yang dibawa sampai kepada penonton,” katanya.
Kata Gina lagi, dia bersetuju selain pendidikan seks di sekolah ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting untuk memastikan anak-anak tahu fungsi seks dari sudut keselamatan dan biologi.
“Ya memang janggal, tetapi perbualan sepatutnya berlaku secara santai dan tidak dirancang. Contohnya jika ada adegan seksual atau membabitkan ibu yang hamil dalam rancangan TV, dari situ ibu bapa boleh memulakan perbualan.
“Anda boleh juga menonton dokumentari atau membacakan buku berkaitan seks bersama dengan mereka.
“Tetapi pastikan bahan pendidikan itu mudah difahamkan dan tak ada unsur ghairah, kerana tujuan kita adalah untuk memastikan anak-anak faham tentang bahayanya seks jika tersalah langkah,” katanya.
Tambah Gina, selain pengetahuan tentang hubungan seks, beritahu anak anda tentang tindakan-tindakan yang berniat ke arah seks dan langkah keselamatan bagi melindungi diri mereka.
“Akhir sekali, tetapkan had dalam hubungan mereka dalam masa yang sama, tidak terlalu mengongkong kehidupan mereka,” katanya.