Drama premium terbitan Astro Originals, Kampong Pisang Bersiri-siri akan menemui penonton dengan episod ke-11 berjudul Alam Pak Din (bahagian 1) pada malam ini.

Diarahkan oleh sutradara tersohor, Mamat Khalid, episod kali ini menampilkan Adam AF2 yang membawa watak Ustaz Adam sebagai pelakon jemputan.

Ustaz Adam merupakan seorang finalis Akademi Fantasia musim kedua dan mempunyai ramai isteri.

Penduduk kampung dikejutkan dengan kematian Pak Din. Kemudian Pak Jabit membuat pilihan raya untuk memilih ketua kampung yang baru.

A post shared by Astro Shaw Sdn Bhd (@astroshaw)

Keadaan menjadi bertambah kecoh dengan kemunculan hantu raya.

Apakah ketibaan Ustaz Adam di Kampong Pisang mempunyai kaitan dengan hantu raya tersebut?

Kampong Pisang Bersiri-siri menghimpunkan barisan watak komedi daripada francais terdahulu antaranya, Pak Jabit dan Husin daripada filem Zombi Kampung Pisang, Kak Limah (Hantu Kak Limah), Cik Purnama, Chomprak, Joko Anuar, Pembantu Perubatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan penampilan watak Barkoba daripada 16 dan 17 Puasa.

Malah, turut memperkenalkan watak sampingan baru seperti Pak Kasim, Pak Din ‘Pest Control’, Pak Karim dan Cik Chun.

Kampong Pisang Bersiri-Siri bersiaran sebanyak 12 episod bermula 7 Disember ini, setiap Isnin, pukul 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).