Drama premium terbitan Astro Originals Kampong Pisang Bersiri-siri kini menemui penonton pada setiap malam Isnin.

Diarahkan oleh pengarah tersohor Mamat Khalid, drama bersiri ini menghimpunkan barisan watak komedi daripada francais terdahulu antaranya, Pak Jabit dan Husin daripada filem Zombi Kampung Pisang, Kak Limah (Hantu Kak Limah), Chomprak, Joko Anuar, Pembantu Perubatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan penampilan watak Barkoba daripada 16 dan 17 Puasa.

Malah, siri ini turut memperkenalkan watak utama penduduk kampung seperti Pak Jabit, Pak Din ‘Pest Control’, Barkoba dan Che Purnama.

1. Kazar Saisi sebagai Pak Din Pest Control (Ketua Kampung)

Seorang lelaki tua yang merupakan ketua Kampong Pisang. Orang kerajaan, selalu mengagungkan kerajaan dan membahaskan isu politik. Seorang yang bercakap besar dan bercakap banyak. Sebelum menjadi Ketua Kampong Pisang, dia pernah menjadi calon ADUN Manjoi tetapi kecundang.

2. Bell Ngasri sebagai Barkoba

Berumur 40-an. Mempunyai perniagaan MLM dan juga merupakan orang kaya dalam kampung pisang tetapi tidak terkena rupa. Seorang duda yang berwawasan dan mempunyai seorang anak perempuan bernama Cempaka. Mempunyai banyak “cable” budak-budak rempit daripada kampung sebelah

3. Dewa Sapri sebagai Che Purnama

Pekerjaannya pemandu bas pekerja. Seorang yang cakap tak serupa bikin. Dia sering memberi nasihat tetapi dia sendiri yang melakukan perkara itu, umpama seekor ketam yang mengajar anak berjalan lurus. Dia merupakan seorang yang lalang di dalam hal politik, menyokong kerajaan yang sekarang.

4. Aziz M Osman Sebagai Pak Jabit

Mempunyai warung di Kampong Pisang dan sering menjadi tempat penduduk berkumpul, mempunyai pembantu yang buta tapi mempunyai mata hati iaitu Yassin yang suaranya sama seperti Ahmad Jais. Pak Jabit sentiasa bertindak neutral dalam apa jua keadaan.

Saksikan Kampong Pisang Bersiri-Siri, bersiaran sebanyak 12 episod bermula 7 Disember ini, setiap Isnin, pukul 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).