Penerbit filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD) Datuk Ayu Puteh menawarkan imbuhan lebih RM5,000 kepada mana-mana pihak yang berani tampil mendedahkan dalang yang bertanggungjawab menyebarkan filem itu tanpa kebenaran.

BACA: Filem Dijual Haram Semurah 80 Sen, Ayu Puteh Failkan Saman Terhadap Syarikat E-Dagang!

BACA: Syak Angkara 'Orang Dalam', Penerbit Filem AADD Teruskan Saman Platform E-Dagang RM50 Juta


Pendekatan itu yang terbaru diambilnya selepas syarikat produksi terbabit, Pencil Pictures And Records Sdn Bhd (PPAR), menyaman pemilik sebuah laman e-dagang atas dakwaan melanggar hak cipta eksklusif baru-baru ini.

Ayu berkata jumlah yang akan diberikan pula bergantung kepada seberapa banyak maklumat diperoleh sehingga tertangkapnya dalang terbabit.

“Saya menyeru sesiapa yang ada maklumat atau tahu siapa sebenar penjenayah digital ni agar tampil memberikan kerjasama kerana saya nak berikan wang ganjaran RM5,000 atau mungkin lebih.

“Jumlah itu bergantung kepada berapa banyak maklumat tepat boleh dikongsikan.
“Jika maklumat tersebut boleh membawa kepada penangkapan dalang terbabit, jumlah ganjaran akan diberikan pula adalah melebihi nilai RM5,000,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, pihaknya tidak akan melayan sekiranya maklumat yang diberikan didapati palsu.

Sebelum ini PPAR mengemukakan saman pelanggaran hak cipta eksklusif terhadap laman e-dagang itu kerana didakwa mengedar dan menjual filem keluaran syarikat itu dengan harga serendah 80 sen.

Saman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 September lalu.

AADD arahan Rahila Ali itu sepatutnya ditayangkan di pawagam namun tergendala akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sebelum ini. PPAR kemudian memutuskan untuk menayangkan filem berkenaan melalui Astro First.

Bagaimanapun, plaintif berkata, selepas hampir sebulan filem itu ditayangkan di saluran tersebut, pada 2 Julai pengarahnya dimaklumkan berlaku pelanggaran hak cipta oleh defendan.

Filem tersebut sudah dipadam dari platform e-dagang itu.

AADD mengangkat kisah seorang ustaz menghadapi dosa silam apabila pernah berzina hingga melahirkan anak luar nikah. Lebih menakutkan, anak itu membesar sebagai seorang yang berfikiran bebas dan tidak mempercayai kewujudan Tuhan hingga mahu membunuh diri.

Filem yang menjalani penggambaran di Scotland pada 2018 itu dibintangi pelakon, Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha, Haris Ismail (PU Riz), Adam Corrie dan Fauziah Nawi.

AADD telah ditayangkan di 70 pawagam di seluruh negara sejak 10 September lalu.

Sumber: Malaysiakini