Pengajur konsert NOAH Live in KL, YOLO Malaysia menjadikan kepuasan kepada pembeli tiket serta persembahan memukau dan bertenaga dari band popular Indonesia itu kelak.

Kata Pengasas YOLO Asia, Ib Harun, peminat NOAH akan dapat terubat kerinduan menerusi konsert yang dijadualkan berlangsung pada 12 November nanti.

"Pemilihan NOAH dibuat atas dasar kemampuan mereka mengadakan persembahan yang pastinya dapat dirasai setiap pengunjung konsert nanti. Ini hanyalah permulaan dan semoga ramai lagi aksi-aksi antarabangsa yang bakal dipersembahkan kelak," katanya.

NOAH dianggotai tiga orang ahli iaitu Nazril Irham atau lebih terkenal dengan panggilan Ariel selaku 'frontman' atau vokalis utama, juga merupakan pengubah serta penerbit muzik, Lukman Hakim atau Lukman selaku gitaris serta keyboardist tetap serta anggota terakhir iaitu David Kurnia Albert Dorfel atau mesra dengan panggilan David.

Band yang ditubuhkan pada Ogos 2012 ini turut berbesar hati untuk membuat persembahan di Malaysia bagi menghiburkan peminat-peminat di sini atas pelawaan YOLO Malaysia.

A post shared by YOLO Malaysia (@yolo_malaysia)


Tambah Penerbit Kreatif YOLO Malaysia, Hamka Mohd Taufik, peminat juga akan dikejutkan dengan kemunculan tiga pemuzik profesional yang bakal mengiringi persembahan NOAH nanti.

"Selain mengubati rindu peminat-peminat NOAH di Malaysia, peminat akan merasai pengalaman luar biasa berada dekat dengan idola mereka selama 90 minit dengan lagu-lagu hit mereka.

"Pada malam konsert nanti juga, akan ada 3 pemuzik profesional akan mengiringi persembahan NOAH selain kejutan lain. Pembeli tiket yang bertuah bakal dihiburkan dengan persembahan bertenaga dan memukau dari NOAH yang dijangka lebih ‘intim’," ujarnya.

Untuk makluman, sebelum mana-mana konsert anjuran YOLO Malaysia bermula, tempoh pra-pendaftaran telah pun diperkenalkan buat pembeli untuk mendapatkan tiket di peringkat awal, setelah itu baharulah bakinya dijual secara umum untuk semua.

NOAH bakal beraksi dalam NOAH Live In KL pada 12 November 2022 di Zepp Kuala Lumpur.