Pihak penganjur bagi Konsert Gigi Nakal yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 5 November depan tidak menolak jika konsert tersebut akan bertindan dengan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka akan diadakan pada hari yang sama.

Penerbit Eksekutif bagi YOLO Malaysia, Haniff Hamzah berkata, jika bertindan sekalipun, konsert berkenaan akan diteruskan dan dalam masa sama berharap agar peminat yang sudah memiliki tiket akan hadir pada acara tersebut pada sebelah malam.

“Kita sebagai rakyat perlu keluar mengundi kerana PRU15 adalah tanggungjawab kita bersama. Jadi, kalaulah PRU15 diadakan pada hari yang sama, sebelah malamnya peminat boleh datang menonton konsert.

“Kalau betul-betul berlaku, ia akan jadi satu hal yang unik kerana masing-masing yang datang memiliki jari yang bertanda,” katanya kepada Gempak.

Haniff menambah, pihaknya bagaimanapun tidak merancang untuk memulangkan wang pembelian tiket jika tarikh konsert bertindih dengan PRU15.

“Kami faham yang mungkin ada dalam kalangan pemilik tiket mengundi di luar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

“Namun, ia atas perancangan sendiri. Dan kami melihat tiada keperluan untuk memulangkan wang pembelian tiket sekiranya pemilik tiket perlu membuang undi di luar kawasan Lembah Klang.

“Jika ada sebarang kerisauan selepas membeli tiket, boleh e-mel kepada kami dan kita boleh berbincang untuk langkah seterusnya,” ujarnya lagi.



Konsert Gigi Nakal di Kuala Lumpur akan berlangsung pada 5 November, bertempat di Zepp Kuala Lumpur, menampilkan band popular Indonesia, Gigi.

Tiket dengan harga bermula RM200 sehingga RM5,000 boleh didapati menerusi yoloasia.com.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!