Pihak penganjur Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) menegaskan pihak mereka tidak tahu sepenuhnya tentang gimik sesetengah persembahan yang dipersembahkan malam tadi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak, mereka akan berbincang dengan pihak artis untuk mengambil tindakan lanjut.

“Kita ada Kod Kandungan yang perlu diikuti apabila nak menyiarkan sesuatu di kaca TV. Setakat ni kita perlu semak adalah persembahan Aina Abdul dan Drama Band bercanggah dengan Kod Kandungan ataupun tidak memandang kita ada terima banyak aduan.

“Kita tahu akan ada gimik tapi mereka tidak keluarkan semua. Benda ni siaran langsung. Apa yang terjadi semasa siaran langsung, ia di luar kawalan kita. Kita tak tahu sebarang gimik yang keterlaluan yang terlepas keluar TV.

“Selain Aina, gimik daripada Drama Band pun buat kita terkejut. Dari segi mesej yang nak disampaikan, sepatutnya mereka cakap pada kita tentang konsep persembahan,” kata Johan kepada Gempak.



Menjawab tentang isu video Aina dan Drama Band yang disekat tayang di laman YouTube, pihak penganjur ada alasan yang tersendiri.

“Kalau ikutkan bila benda ada bersangkut paut dengan pihak berkuasa dan Kod Kandungan, seelok-eloknya kita hold dulu tayangan video tersebut untuk meredakan kekecohan masyarakat.

“Kita akan melihat perkara ini, memeriksa dengan Kod Kandungan dan dari situlah baru kita akan buat keputusan,” jelas Johan lagi.

Pada persembahan AJL34 malam tadi, persembahan Aina Abdul menerima kritikan ramai gara-gara ada dakwaan wujudnya unsur bunuh diri dan Drama Band pula didakwa memberikan sindiran terhadap beberapa individu.