ASTRO GEMPAK ARTICLE

Pengantin Perempuan Batal Nikah Selepas Tahu Calon Suami Botak

gempak 14/08/2025 | 21:55 MYT

Seorang pengantin perempuan di India bertindak membatalkan majlis perkahwinannya selepas mengetahui calon suaminya sebenarnya botak dan kerap memakai rambut palsu untuk menutup kekurangan tersebut.

Memetik laporan Sanook.com, kejadian tular itu berlaku ketika pihak pengantin lelaki dan keluarganya tiba di kediaman pengantin perempuan untuk melangsungkan upacara perkahwinan.

Difahamkan, semua persiapan perkahwinan seperti hiasan bunga, pelamin dan perhiasan lain telah siap dipasang, malah upacara adat sebelum majlis turut berjalan lancar.

Bagaimanapun, pengantin perempuan mula menyedari kelakuan pelik calon suaminya yang kerap memegang topi di kepala dan kelihatan gelisah.

Hal itu mendorongnya bertanya secara diam-diam kepada ahli keluarga pengantin lelaki.

“Saya hanya beberapa kali bertemu dengannya kerana kami dijodohkan. Ketika berjumpa, perbualan kami hanya berkisar tentang persiapan majlis bersama keluarga.

"Kami lebih banyak berhubung melalui telefon, jadi saya tidak tahu tabiat peliknya,” katanya.

Hasil pertanyaan itu, wanita berkenaan mendapati calon suaminya botak dan menggunakan pelbagai jenis rambut palsu bagi menutup rahsia tersebut.

Merasa tertipu dan malu, pengantin wanita membuat keputusan untuk membatalkan majlis walaupun semua persiapan telah dibuat.

Sumber: Sinar Harian