FILEM
Pengarah Dedah Detik Tayangan Diganggu Ketika Malam Gala Qodrat 2: “Saya Tak Pernah Rasai…”
Pengarah filem seram Qodrat 2, Charles Gozali berkongsi pengalaman aneh dan tidak diduga yang berlaku ketika malam gala tayangan filem arahannya di TGV KLCC baru-baru ini.
Menurut Charles, insiden berlaku ketika filem ditayangkan kepada penonton dan terganggu secara tiba-tiba pada satu babak penting.
“Sepanjang saya ke panggung, tidak pernah saya merasai pengalaman tayangan filem terhenti seketika, tetapi semalam ia terjadi,” katanya kepada Gempak.
Lebih menyeramkan, gangguan itu berlaku sewaktu babak watak Azizah lakonan Acha tidak dapat meneruskan bacaan doa Iftitah, dan tiba-tiba skrin terus menjadi gelap.
“Penonton lain bertanya kenapa dan apa yang terjadi. Dan saya hanya menjawab, ‘oh filem seram, biasa macam ini’,” tambahnya sambil berseloroh.
Insiden yang berlaku itu menambah elemen misteri kepada Qodrat 2, yang sememangnya sudah menjanjikan pengalaman menonton yang mendebarkan dan penuh kejutan.
Filem Qodrat 2 bukan sekadar filem seram biasa, tetapi menyentuh elemen spiritual yang sangat dekat dengan masyarakat kita.
Untuk info, filem Qodrat 2 terbitan MAGMA Entertainment dan Astro Shaw ini masih mengikuti perjalanan Ustaz Qodrat (Vino G. Bastian) selepas menyelamatkan Alif daripada cengkaman Asuala.
Kali ini, tumpuan beralih kepada usahanya mencari isterinya, Azizah (Acha Septriasa) yang mengalami kemurungan selepas hilang akidah.
Berbeza dengan Qodrat (2022) yang masih penuh misteri, filem kedua ini menyajikan kisah yang lebih mendalam dan perlahan-lahan menyingkap latar belakang keluarga Qodrat.
Dengan visi sedemikian, pengarah, Charles bijak memutuskan untuk mengubah sudut pandangan bercerita. Tumpuan kini beralih kepada Azizah, isterinya.
Saksikan Qodrat 2 yang kini ditayangkan di pawagam seluruh negara.