Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Pengarah Filem AS, Sarah Friedland Nyatakan Sokongan Kepada Palestin Secara Terbuka Di Festival Filem Venice

Asyraf Roslan
09/09/2024 03:55 MYT
Pengarah filem, Sarah Friedland secara terbuka menyatakan sokongan kuat untuk rakyat Palestin terutamanya berhubung situasi kritikal di Gaza.

Friedland menyuarakan sokongannya semasa memberi ucapan selepas menerima Anugerah Luigi de Laurentiis untuk filemnya Familiar Touch di Festival Filem Venice.

Dalam ucapannya, dia menyeru agar semua pengarah menggunakan pengaruh mereka untuk menggunakan platform mereka dalam memperjuangkan keadilan.

“Sebagai seorang artis Yahudi Amerika yang bekerja dalam medium berasaskan masa, saya perlu menyatakan, saya menerima anugerah ini pada hari ke-336 pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza dan tahun ke-76 penjajahan.

"Saya percaya menjadi tanggungjawab kita sebagai pembuat filem untuk menggunakan platform institusi yang kita miliki untuk membetulkan kekebalan Israel di peringkat global.

"Saya berdiri bersama dengan rakyat Palestin dan perjuangan mereka untuk pembebasan,” ujarnya.

Ucapan Friedland telah mendapat sokongan daripada pengarah filem yang berasal dari Palestin, Scandar Copti, yang telah memenangi anugerah lakon layar terbaik untuk filemnya iaitu Happy Holidays.

Copti turut menekankan kesan teruk konflik pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza serta menyorot angka korban yang amat membimbangkan dalam kalangan rakyat Palestin.
Ucapan daripada Friedland dan Copti menerima tepukan gemuruh dan mencetuskan perbualan global mengenai konflik di Gaza.

Kedua-dua pengarah ini telah menggunakan pentas berprestij Festival Filem Venice untuk meningkatkan kesedaran tentang keadaan yang semakin buruk di Gaza dan menyeru komuniti filem antarabangsa untuk mengambil sikap tegas terhadap isu ini.
#Palestin #Festival Filem Venice #Sarah Friedland