Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pengarah James Cameron Kata Ada Persamaan Tragedi Titanic & Titan

Maliah Surip
23/06/2023 09:45 MYT
Pencarian kehilangan kapal selam Titan yang membawa pelancong untuk melihat bangkai kapal persiaran mewah, Titanic yang tenggelam di dasar laut berakhir dengan berita yang tidak mahu didengar.

BACA: Kapal Selam Titan Meletup Berhampiran Titanic, 5 Penumpang Disahkan Meninggal Dunia

Kapal selam milik syarikat OceanGate itu dilaporkan meletup hanya beberapa ratus meter daripada bangkai Titanic sekaligus mengorbankan lima penumpang termasuk ‘kapten’ ekspedisi tersebut.



Penumpang yang meninggal dunia adalah Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Stockton Rush, Shahzada Dawood serta anaknya Suleman Dawood, jutawan British Hamish Harding dan Paul-Henri Nargeolet.

Berita tragedi tersebut mendapat perhatian dunia, termasuk pengarah tersohor yang pernah mengarahkan filem dengan judul Titanic, James Cameron.

Cameron menghasilkan Titanic pada tahun 1997 yang diangkat daripada kisah benar mengenai kapal persiaran mewah tersebut karam selepas melanggar bongkah ais pada April 1912.

Sutradara itu mengatakan tragedi Titan yang meletup dengan Titanic yang karam mempunyai sedikit persamaan.

“Saya fikir tragedi kedua-duanya hampir sama. Titanic karam kerana kapten kapal memandu dengan laju dalam kegelapan malam tanpa sinaran bulan dan menyukarkan pemandangan sehingga tidak menyedari terdapat bongkah ais di laut yang tenang.

“Mereka (Titanic) juga telah diberi peringatan berulang kali (bahaya),” kata Cameron seperti dilaporkan CNN.

Cameron yang sudah 33 kali menyelam ke kawasan bangkai Titanic kemudian menyambung: “Kita kemudian melihat situasi yang hampir serupa apabila kapal ini (Titan) sudah diberi peringatan dan ia tidak mempunyai kelulusan.”

Dalam operasi mencari dan menyelamat, Titan dilaporkan meletup dengan serpihan kapal selam berkenaan ditemui berhampiran bangkai Titanic pada kedalaman 4,000 meter di bawah Laut Atlantik.

#Filem #Titanic #Meletup #James Cameron #Maut #Kapal Selam #Titan
;