Laman Utama

Pengarah UMS Sahkan Veveonah Duduki Peperiksaan Pada 9-12 Jun, Dakwaan Ahli Parlimen Kudat Tak Tepat

gempak
Fiza Kamarudin
09/09/2020
00:05 MYT
Sponsor Banner
Pengarah UMS Sahkan Veveonah Duduki Peperiksaan Pada 9-12 Jun, Dakwaan Ahli Parlimen Kudat Tak Tepat
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Masidi Manjun mengesahkan Veveonah Mosibin menduduki peperiksaan akhir semester pada 9 hingga 12 Jun lalu.
Perkara itu disahkan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan timbalan naib canselor dan pengarah pusat asasi sains UMS, hari ini.
“Memang betul (Veveonah duduki peperiksaan akhir secara dalam talian), dokumen juga telah ditunjukkan sebagai bukti,” katanya.
Ketika ditanya mengenai catatan ahli Parlimen Kudat, Abdul Rahim Bakri di Facebook yang mendakwa pihak UMS menerusi seorang dekan mengesahkan tiada sebarang peperiksaan akhir dibuat secara dalam talian, Masidi berkata ia memang benar namun hanya bagi kursus ijazah.
“Dekan bukan orang yang bertanggungjawab mengendalikan kursus asasi sains dan ia bukan fakulti yang diketuai seorang pengarah.
“Memang tiada peperiksaan secara ‘online’ bagi kursus ijazah tetapi bagi peperiksaan kursus asasi sains atau pra sains, ianya ada,” katanya.
Terdahulu Rahim menerusi postingnya di Facebook mendakwa Veveonah tinggal di pekan dan keluarganya tidak lagi mempunyai rumah di kampung.
Beliau mendakwa Veveonah sengaja “membuat drama” untuk mendapat perhatian dan publisiti.
Bagaimanapun Rahim memadam posting tersebut selepas dikecam netizen.
Sementara itu, abang kepada Veveonah, Meksin, mempertahankan adiknya dan memberitahu Rahim mendapat maklumat yang salah.
“Walaupun keluarga kami tinggal di Pitas kerana bapa kami bekerja di Koperasi Pembangunan Desa (KPD), namun kami kerap balik ke Sapatalang yang jaraknya kira-kira 30 minit dari pekan Pitas menggunakan kenderaan.
“Selain balik ke Sapatalang iaitu kampung bapa kami, kami juga ke kampung ibu di Solimpodon yang terletak berhampiran. Rumah lama kami di Sapatalang sudah dirobohkan kerana ia sudah usang tetapi seorang lagi abang kami ada rumah baru di sana yang kini masih dalam pembinaan,” katanya.
Meksin berkata, mereka kini tinggal sementara di rumah yang sebelum ini adalah sebuah gereja (tidak jauh dari rumah abang mereka) iaitu rumah yang Veveonah sering tinggal.
“Jadi apa yang dikatakan timbalan menteri serta ketua kampung yang kami tidak mempunyai rumah di Sapatalang, seperti dalam hantaran di Facebook semalam adalah tidak benar.
“Ia sangat menyakitkan, siapa tidak sakit hati apabila kamu tahu kamu benar tetapi orang masih mengatakan sebaliknya,” katanya.
Sumber: FreeMalaysiaToday
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live