Pengasas Kelab Komedi Mengaku Tidak Bersalah Dakwaan Hantar Komunikasi Jelik
Awani
22/07/2022 07:27 MYT
22/07/2022 07:27 MYT
Pengasas dan pemilik bersama sebuah kelab komedi mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menghantar komunikasi jelik di Mahkamah Seksyen Jenayah Siber, di sini, pada Jumaat.
Tertuduh, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Hasniah Abdul Razak.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua tiga pertuduhan.
Tertuduh turut diperintah menyerahkan pasport serta tidak membuat sebarang komen di media sosial berkenaan kes dihadapinya.
Mengikut pertuduhan pertama, dia dituduh secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain menerusi satu pautan di aplikasi Facebook pada jam 11.23 malam, 4 Julai lalu.
Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama menerusi laman profil Instagram dan Tiktok miliknya pada 6 dan 5 Julai 2022.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali, dan didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta komunikasi dan Multimedia (Akta 588).
Hakim menetapkan 19 Ogos untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Noor Haslinda Che Seman dan Nurul Ain Abu Bakar, manakala tertuduh diwakili peguam Ramkarpal Singh.