BERITA

Pengasas Telegram Wariskan Harta Cecah RM65 Bilion Kepada 100 Anaknya - “Saya Tak Mahu Mereka Berbalah Selepas Saya Tiada”

Gempak 21/06/2025 | 03:43 MYT
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif aplikasi mesej segera Telegram, Pavel Durov, mendedahkan beliau akan mewariskan hartanya kepada lebih 100 anak yang dikatakan lahir hasil sumbangan spermanya sendiri.
Usahawan teknologi kelahiran Rusia itu berkata, harta pusakanya akan dibahagikan antara enam anak daripada beberapa hubungan peribadi dan juga puluhan anak lain yang dilahirkan melalui sumbangan sperma sejak 15 tahun lalu, lapor CNN.
“Mereka semua anak saya dan akan memiliki hak yang sama! Saya tidak mahu mereka berbalah selepas saya tiada,” katanya dalam wawancara bersama majalah politik Perancis, Le Point.
Durov, 40, juga menjelaskan bahawa dia tidak membezakan anak-anak yang sah dari segi undang-undang dengan anak-anak hasil sumbangan biologi tersebut.
Beliau sebelum ini pernah berkongsi di media sosial tentang jumlah anak yang telah dilahirkannya hasil daripada nasihat seorang doktor yang menyarankan agar dia menyumbang “bahan penderma berkualiti tinggi” demi “tanggungjawab sivik.”
Menurut Bloomberg, nilai kekayaan Durov dianggarkan mencecah AS$13.9 bilion (RM65 bilion), namun beliau menolak anggaran itu dan menyifatkannya sebagai “teori semata-mata.”
“Saya tak jual Telegram, jadi nilai itu tak penting. Saya tak ada wang sebanyak itu dalam akaun bank. Aset cair saya jauh lebih rendah dan ia bukan datang daripada Telegram, tapi daripada pelaburan saya dalam bitcoin sejak tahun 2013,” ujarnya.
Namun begitu, semua anak-anaknya perlu menunggu lama untuk menikmati harta pusaka itu.
Durov memaklumkan bahawa mereka hanya boleh mengakses kekayaannya selepas 30 tahun dari tarikh hari wasiat itu ditulis.
“Saya mahu mereka hidup sebagai manusia biasa, membina kehidupan mereka sendiri, belajar mempercayai diri sendiri dan mampu mencipta sesuatu dan bukan bergantung pada akaun bank. Saya tekankan bahawa tiada perbezaan antara semua anak saya,” tegasnya.
Ketika ditanya sebab beliau menulis wasiat sekarang, Durov yang kini menetap di Dubai menjawab: “Kerja saya berisiko iaitu mempertahankan kebebasan menjadikan saya mempunyai ramai musuh, termasuk dari negara-negara berkuasa.”
“Saya mahu melindungi anak-anak saya, dan juga syarikat yang saya bina iaitu Telegram. Saya mahu Telegram kekal setia pada nilai-nilai kebebasan yang saya perjuangkan.”
Telegram, yang kini memiliki lebih satu bilion pengguna bulanan, dikenali sebagai platform berasaskan penyulitan tinggi serta kurangnya kawalan terhadap kandungan pengguna.
Tahun lalu, Durov telah ditahan di Paris berhubung pelbagai tuduhan termasuk dakwaan bahawa platformnya membantu aktiviti pengubahan wang haram, pengedaran dadah dan penyebaran bahan lucah kanak-kanak.
Bagaimanapun, Durov menafikan semua pertuduhan tersebut dan menyifatkannya sebagai “tidak masuk akal.”
“Hanya kerana penjenayah guna aplikasi mesej kami, seperti banyak aplikasi lain, tak bermakna pengendalinya juga penjenayah,” katanya kepada majalah itu.
Sumber: Sinar Harian
#Anak #Waris #Telegram #Harta #Kekayaan #Pengasas