BERITA
Pengasuh Dengar Suara Zayn Rayyan Cuba Lepaskan Diri Daripada Seseorang
Pengasuh Zayn Rayyan Abdul Matin mengaku di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor pada Rabu bahawa dia telah mendengar suara kanak-kanak autistik itu seakan-akan mahu melepaskan diri daripada seseorang di Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, pada 5 Disember 2023 lalu.
Saksi pendakwaan ke-17, Auni Afiqah Abas, 30, berkata demikian ketika perbicaraan kes pengabaian yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal membabitkan ibu bapa kanak-kanak tersebut, Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf.
Menjawab soalan peguam Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan berusia 30 tahun itu, Auni Afiqah yang mengenali Ismanira sejak di kolej berkata, dia mendengar suara kanak-kanak kurang upaya berkenaan semasa misi pencarian selepas jam 6.30 petang.
Auni Afiqah mengaku bahawa pada waktu itu, Ismanira dan Zaim Ikhwan telah ke balai polis untuk membuat laporan mengenai kehilangan anak sulung mereka selepas mengambil seorang lagi anak mereka yang berusia empat tahun pada jam 4 petang.
Peguam: Saya cadangkan bahawa selaku pengasuh Zayn Rayyan, cik Auni Afiqah sudah biasa dengan suaranya?
Auni Afiqah: Betul.
Peguam: Suara Zayn Rayyan turut didengar oleh adik cik Auni Afiqah dan beberapa budak lain yang mengikuti misi pencarian di situ?
(Saksi ini diam seketika sebelum menjawab "betul" selepas soalan yang sama diulang oleh peguam terbabit.)
Peguam: Setuju dengan cadangan saya bahawa suara yang cik dengar itu seolah-olah dia cuba melepaskan diri daripada seseorang, betul?
Auni Afiqah: (Senyap)... boleh ulang soalan? Boleh saya ambil masa sekejap?
Peguam: Boleh, atau cik mahu saya ulang soalan?
Auni Afiqah: Ya.
Peguam: Saya cadangkan bahawa suara yang cik dengar itu seolah-olah Zayn Rayyan mahu melepaskan diri daripada seseorang?
Auni Afiqah: Saya tidak pasti.
Haresh kemudian memaklumkan bahawa terdapat satu temu bual dalam siaran langsung di aplikasi TikTok oleh ‘Sinar Daily’ di mana saksi ini mengakui telah mendengar suara Zayn Rayyan pada tarikh berkenaan.
Auni Afiqah kemudiannya menyatakan bahawa dia pernah membuat kenyataan tersebut kepada pihak media yang menemu bualnya.
Dia juga mengakui telah memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis semasa rakaman percakapan dijalankan terhadapnya.
Semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz, Auni Afiqah berkata bahawa dia mengulangi perkara yang sama, iaitu mendengar suara Zayn Rayyan.
“Saya cuma rasa sahaja itu suara Zayn Rayyan. Dia macam sebut ‘errrrrrrrr’.
“Saya tahu sebab saya yang menjaga Zayn Rayyan, dan dia pernah buat suara begitu,” katanya.
Ibu kepada dua anak itu berkata bahawa dia telah menjadi pengasuh kepada Zayn Rayyan dan adiknya sejak Jun 2022.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya, jam 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang, ditemui terbaring dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Perbicaraan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh bersambung jam 2 petang.
Sumber: Astro Awani menerusi Sinar Harian
Must-Watch Video