BERITA
Pengasuh Didakwa Bunuh Kanak-Kanak Perempuan Tiga Tahun
Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang pada Rabu atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, bulan lepas.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Nur Nabilah Sekh Ruslan, 32, berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dia didakwa menyebabkan kematian kanak-kanak itu di sebuah rumah di Bukit Rangin Damai, Perumahan Bukit Rangin di sini antara 6 petang hingga 8 malam 17 Feb lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum dengan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Abdul Wahab manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret Ellyna Othman kemudian menetapkan 15 Mei depan untuk sebutan semula kes dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Pada 27 Feb lepas, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan pada 20 Feb lepas dipercayai akibat didera, yang menyaksikan enam individu berusia lingkungan 17 hingga 44 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Sumber: Astro Awani menerusi BERNAMA