Pengerusi UDA Holdings Berhad, Datuk Hisham Hamdan dan seorang jururawat pelatih yang bertugas di hospital swasta disahkan posotif coronavirus 2019 (COVID-19) oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam notis dalaman yang dikeluarkan oleh UDA, syarikat itu menasihati mana-mana individu yang berhubungan langsung dengan Hisham supaya menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan atau hospital kerajaan berdekatan, terutama yang mengalami simptom demam panas, sakit tekak dan lain-lain.

Beliau dikatakan telah menghadiri Majlis Apresiasi pada 27 Februari lalu di Hotel Ancasa Kuala Lumpur.

Mereka diminta tidak mendedahkan diri dengan orang lain.

Notis itu turut meminta semua pihak bertenang dalam menghadapi situasi tersebut.

Sementara itu, kes jururawat wanita berusia 20 tahun itu adalah yang ke-27 dan dijangkiti ketika menjalani latihan sangkutan jangka pendek di hospital swasta yang merawat kes ke-24.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, semasa aktiviti pengesanan kontak rapat yang dijalankan pihak Pejabat Kesihatan Daerah, jururawat itu dikenal pasti mengendalikan kes ke-24 tanpa memakai sebarang alat perlindungan diri.

“Pada 21 dan 22 Februari lalu, beliau mengendalikan kes berkenaan dan pada 27 Februari, dia mula mengalami gejala batuk dan ujian saringan COVID-19 mendapati dia disahkan positif, semalam.

“Jururawat itu dimasukkan ke wad isolasi Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan dan pemantauan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sumber: Malaysia Gazette & BH Online