HIBURAN

Pengesahan Tuntutan Lafaz Taklik Along Cham & Isteri Ditangguh, Ada Isu Dokumentasi

Ainun 10/03/2025 | 05:33 MYT
Kemelut rumah tangga Along Cham dan isterinya, Afreena Suhaimi, masih belum menemui titik noktah apabila prosiding pengesahan tuntutan lafaz cerai taklik mereka ditangguhkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor pada Isnin.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie Muhamad Nazri Basrawi selepas mendapati terdapat kekeliruan dalam dokumentasi yang dikemukakan oleh Along, atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, selaku plaintif.
Berikutan itu, mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi perbicaraan seterusnya pada 8 Mei depan.
Along Dakwa Isteri Langgar Taklik?
Sekadar info, konflik rumah tangga pasangan ini mula menjadi bualan selepas Along mendakwa Afreena telah melanggar tiga perkara yang dipersetujui dalam perkahwinan mereka, sekali gus menyebabkan lafaz taklik jatuh.
Menurut Along, Afreena telah melanggar taklik tersebut pada tahun lalu dan sepatutnya memfailkan lafaz cerai taklik di mahkamah pada 16 Disember 2024. Bagaimanapun, perkara itu tertangguh selepas Along ditahan polis pada 14 Disember atas kesalahan memiliki dadah.
Untuk rekod, Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April 2024. Sebelum ini, Along pernah berkahwin dengan bekas peserta Akademi Fantasia, Zila Seeron pada Januari 2010, namun mereka bercerai pada Ogos 2016.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14.
#cerai #Along Cham #Afreena Suhaimi