Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Pengguna Dinasihatkan Lebih Berwaspada Sebelum..." - Jakim Penjelasan Isu Status Halal Ah Cheng Laksa

Hanafis Haris
31/10/2019 10:45 MYT
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan premis makanan popular, Ah Cheng Laksa masih belum menjadi pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia bagi seluruh rangkaian cawangan.

Penjelasan itu dibuat selepas pihak mereka dihujani dengan pertanyaan awam berkenaan status halal premis makanan tersebut.

Menerusi satu posting di Facebook (Fb) rasmi mereka, Jakim memaklumkan central kitchen bagi premis makanan berkenaan yang didaftar atas nama Ah Cheng Laksa Sdn Bhd di lokasi Taman Perindustrian USJ 1, Subang Jaya, Selangor telah dipersijilkan halal.

"Namun, pensijilan halal yang diperolehi oleh central kitchen tidak bermakna seluruh rangkaian cawangan telah dipersijilkan halal kerana bagi permohonan premis makanan berangkai, terdapat syarat-syarat khusus pensijilan halal yang perlu dipenuhi," kata pengendali akaun tersebut.

Jelas kenyataan berkenaan itu lagi, pihak Jakim mengalu-alukan usaha murni pihak syarikat untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk seluruh rangkaian premisnya agar kekeliruan status halal dapat diatasi dengan berkesan.

"Pengguna juga dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu tular berkaitan isu halal yang tidak diketahui status kebenarannya," katanya.


Terdahulu, isu status halal premis makanan tersebut menjadi perbualan 'panas' ada yang mendakwa ia menggunakan ramuan yang tidak halal dan tidak sesuai dikunjungi oleh pelanggan khususnya yang beragama Islam.
#Viral #Viral #jakim #Laksa
;