Semalam, sebuah berita menyayat hati menjadi bahan bicara netizen apabila pesawat China Eastern Airlines jatuh terhempas di sebuah lokasi pedalaman dekat bandar Wuzhou, Guangxi, China.

Kemalangan yang melibatkan pesawat jenis Boeing 737 tersebut menyebabkan kebakaran di hutan sekitarnya. Sehingga kini, masih tiada lagi berita yang melaporkan sebab kemalangan tersebut berlaku.

Difahamkan, pesawat yang membawa seramai 123 penumpang dengan sembilan anak kapal itu sedang dalam perjalanan menuju ke Guangzhou dari Kunming.

Ramai yang menzahirkan rasa simpati dan sedih, lebih-lebih lagi apabila video rakaman CCTV yang memperlihatkan pesawat berkenaan jatuh menjunam dikongsikan di media sosial.

“Saya tidak rasa ada yang selamat dalam situasi sebegini,” ujar seorang pengguna Twitter.

Namun, ada yang mengambil kesempatan untuk meraih perhatian dengan memuat naik video palsu yang didakwa sebagai video yang dirakam daripada dalam pesawat sebelum terhempas.



“Sebuah pesawat Boeing 737 baru sahaja terhempas di selatan China. Ini merupakan momen terakhir yang dirakam dalam pesawat. Mungkin satu-satunya momen,” tulisnya di Twitter.

Begitupun, ramai yang menzahirkan rasa marah ke atas pengguna Twitter berkenaan dan segera berkongsi fakta sebenar di sebalik video tersebut.

“Hentikan sebar video palsu. Pesawat (dalam video) tak sama langsung dengan China Eastern. Ia merupakan pandangan sayap Ethiopian Airlines. Dan ia merupakan rakaman flight simulator. Henti sebar video palsu,” tegas seorang netizen.

Menerusi tinjauan Gempak, laman web China Eastern Airlines tampil tanpa warna sejak berita terhempasnya pesawat Boeing 737 itu dilaporkan media.