Hiburan
Penggunaan Nama Tino Membawa Tuah Kepada Saya - Aiman Tino
Aiman atau nama sebenarnya Mohd Aiman Yusri, 18, berkata, nama itu memberi aura positif kepada dirinya untuk berjaya dan sentanding dengan penyanyi veteran Herman Tino.
"Sebenarnya saya rasa penggunaan nama Tino ini membawa tuah kepada diri ini kerana dengan nama itu membuatkan saya kian di kenali ramai.
"Nama itu juga memberi aura positif kepada saya untuk berjaya pada masa hadapan supaya dapat menandingi kehebatan penyanyi Herman Tino," katanya kepada Astro Gempak.
Tambahnya, nama tersebut digelar oleh ibunya sejak kecil kerana ibunya itu terlalu meminati penyanyi berkenaan.
"Saya tidak ada kena mengena dengan Herman Tino, cuma ia nama timangan saja kerana ibu saya minat dengan Herman Tino.
"Kami tidak ada niat pun untuk raih publisiti atau tumpang populariti penyanyi berkenaan, cuma ibu saya rasa ia unik dan sesuai dengan saya sahaja," ujarnya.
Dalam pada itu, Aiman berkata dia berharap suatu hari nanti dapat berjumpa dan berduet bersama penyanyi Herman Tino kerana dia amat mengagumi kehebatan penyanyi itu.
Selain itu, bercerita mengenai lagu Ku Rela Dibenci, dia bersyukur kerana lagu ciptaan bapanya Yusri Ismail mendapat perhatian sehingga mencecah lebih 17 juta tontonan di YouTube sejak dimuat naik empat bulan lalu.
Aiman berkata, dia sendiri tidak pernah terfikir lagu tersebut menjadi hit dan menerima sambutan luar biasa pendengar.
Single kedua Aiman yang dicipta oleh bapanya berjudul Permata Cinta, akan menemui peminat tidak lama lagi.
Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
Must-Watch Video