HIBURAN
Pengiktirafan Luar Negara, Langkah Awal Azira Shafinaz Teroka Produksi Luar - “Kalau Boleh Saya Juga Mahukan…”
Pelakon, Azira Shafiinaz akui tidak merasa beban dengan kemenangan yang diperolehinya menerusi anugerah Festival Filem Asia Pasifik baru-baru ini.
Jelasnya, dengan kemenangan tersebut sebagai pelakon membuatkan dia terfikir apa yang boleh diberikan lagi di dalam industri dan lebih penting untuknya kembangkan bakat di luar negara.
“Saya tidak merasa beban apabila mendapat anugerah ini cuma saya sedikit sedih kerana di Malaysia nama saya belum lagi berada di situ tapi di Asia Pasifik orang dah mula kenal.Jadi saya tidak mengharapkan apa-apa dapat pengiktirafan di luar negara juga sudah sangat besar buat saya,”
“Saya bukan tidak diangkat di Malaysia, ada nama saya cuma belum ada rezeki. Apa yang buat saya sedih adalah kerana saya tidak sangka kemenangan saya sebagai pelakon adalah di luar negara, dekat situ buat saya tertanya adakah apa yang saya buat betul.
“Saya juga fikir apa lagi yang saya boleh buat? Sebab kalau boleh saya juga mahu kembangkan bakat saya ke luar, paling dekat adalah Indonesia,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Selepas Rangkul Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Asia Pasifik, Azira Shafinaz Kongsi Hasrat Mahu Bolos Pasaran Indonesia - “Ada Terima Tawaran Tapi…”
ARTIKEL BERKAITAN: Azira Shafinaz, Fabian Loo Rangkul Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-61
Pada masa sama, Azira atau nama lengkapnya Azira Shafinaz Ramlan, 32 berkongsi ada menerima beberapa tawaran daripada produksi luar negara.
Namun Azira yang juga ahli kumpulan, De Fam berkata dia tidak mahu berkongsi perkara tersebut kerana ia masih lagi dalam peringkat perbincangan.
“Saya ada dapat tawaran daripada luar negara tapi kalau boleh saya tak nak kongsi dulu, bagi betul-betul confirm baru kita kongsi nanti orang kata saya cakap je tapi tiada.
“Apa yang saya boleh kongsi tawaran ini dapat masa saya menang untuk filem Indera, jadi ada pengarah yang datang dan memberi tawaran namun macam saya katakan ia semua masih lagi pada tahap perbincangan, saya nak kongsi untuk filem apa pun saya tak berani nak cakap,” katanya.
Azira ditemui ketika majlis tayangan drama lakonannya berjudul One Cent Thief musim kedua (OCT2) yang berlangsung di TGV KLCC, Kuala Lumpur pada Rabu.