Hiburan
"Pengkomersialan Lagu Tidak Gugat Mutu Penciptaan" - DJ Fuzz
Usaha pengkomersialan karya lagu tidak langsung mematikan kualiti seni sesebuah lagu yang dihasilkan.
Ini kerana seni adalah berbentuk subjektif dan ia bergantung kepada pandangan individu untuk menentukan sesebuah karya yang dihasilkan itu, lapor Astro Awani.
Jelas pencipta lagu, DJ Fuzz, pengkomersialan sesebuah lagu amat penting kerana ia adalah sumber pendapatan seseorang anak seni.
Ini kerana, industri seni tidak jauh bezanya dengan industri lain, dimana memerlukan keuntungan demi kelangsungan.
"Ramai orang kata, jika kita hasilkan lagu untuk dijual, maka akan hilang seninya. Adakala karya yang dihasilkan bagi tujuan komersial merupakan karya yang bagus dan berseni.
"Ramai pihak menghakis nilai seni dalam sesebuah karya hanya untuk tujuan komersial, tetapi kebanyakan hasilnya tidak ke mana-mana.
"Adalah molek jika kita berseni dan dalam masa sama kita cuba membuat keuntungan melalui karya yang kita hasilkan," katanya ketika ditemubual di program AWANI Pagi pada Selasa.
Tambahnya, meskipun penciptaan lagu itu bergantung kepada penulis, namun minat pendengar juga perlu diambilkira.
Pendapat DJ Fuzz berkenaan disokong pencipta lagu, Aziquebeats yang merasakan pengkaryaan lagu adalah proses cubaan berulang kali.
"Bagi genre Hip Hop dan Trap ini, lagu yang dihasilkan mudah diterima pelbagai peringkat umur dan ia sekaligus dapat mensasarkan kepada audien yang luas.
"Lagu-lagu sebegini boleh dikomersialkan untuk penghasilan 'jingle' sesuatu produk yang dapat menarik ramai audien mengikut kesesuaian produk itu," kata Aziquebeats.
DJ Fuzz dan Aziquebeats popular dengan lagu "Mengantuknya Mumia" yang tular di media sosial baru-baru ini.
Kedua mereka juga merupakan pencipta lagu berkenaan yang berkolaborasi bersama Didi & Friends, menarik minat netizen sama ada kanak-kanak dan dewasa.
Sumber: Astro Awani
Must-Watch Video