BERITA

Penglihatan Kabur Rupa-Rupanya Ulat Bersarang Dalam Mata

Gempak 22/08/2025 | 20:55 MYT

Seorang lelaki berusia 35 tahun di kawasan pedalaman India terkejut apabila doktor menemui seekor ulat parasit bergerak perlahan dalam matanya selepas dia mengadu mengalami masalah penglihatan kabur.

Portal NDTV melaporkan kes luar biasa itu diterbitkan dalam jurnal perubatan New England Journal of Medicine selepas pakar oftalmologi mendiagnosis lelaki tersebut dengan jangkitan parasit jarang berlaku.

Ulat berkenaan dikenal pasti sebagai Gnathostoma spinigerum, sejenis nematod yang biasanya ditemui pada kucing dan anjing.

Parasit itu dipercayai masuk ke dalam tubuh mangsa melalui pengambilan daging mentah atau kurang masak sebelum berhijrah ke matanya.

Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat tanda radang pada mata dan doktor melihat ulat itu bergerak di bahagian belakang mata menggunakan prosedur fundoskopi.

“Gnathostomiasis biasanya diperoleh melalui pengambilan ikan air tawar, ayam, ular atau katak yang kurang dimasak di kawasan endemik.

“Pesakit ini turut mengaku pernah memakan dua jenis makanan tersebut,” jelas pakar seperti dipetik MedPage Today.

Pakar perubatan turut memberi amaran bahawa jangkitan parasit ini boleh merosakkan retina, menyebabkan kerosakan penglihatan kekal malah berpotensi mengakibatkan buta.

Mangsa menjalani pembedahan pars plana vitrectomy (PPV) bagi membuang ulat tersebut.

Analisis mikroskopik kemudian mengesahkan ia adalah larva nematod dengan ciri khusus yang sepadan dengan spesies Gnathostoma spinigerum.

Sumber: Sinar Harian

#Ulat #Penglihatan Kabur