Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pengsan Semasa Solat, Jemaah Sangka Vokalis Gigi, Armand Maulana Meninggal Dunia

Maliah Surip
17/01/2021 11:50 MYT
Vokalis Gigi, Armand Maulana baru baru ini berkongsi cerita mengenai salah satu peristiwa yang tidak dapat dilupakannya sewaktu menjadi tetamu di saluran YouTube Daniel Mananta Network.

Selain berkongsi cerita tentang resipi kebahagiaan rumah tangga yang dibina bersama Dewi Gita selama 27 tahun, Armand mendedahkan sebuah pengalaman yang cukup menginsafkan bagi dirinya.

Armand mengatakan beliau pernah pengsan sewaktu mengerjakan solat Subuh di sebuah masjid tak lama dahulu. Lebih membuat dirinya cemas apabila jemaah di masjid memikirkan beliau telah meninggal dunia.

Cerita vokalis yang sangat terkenal dengan trademark energatik di atas pentas ini, saat itu beliau baru memulakan solat dan membaca Al Fatihah.

"Sebenarnya pagi itu saya sihat saja. Naik motor ke masjid. Namun apabila mula solat dan memulakan bacaan Al Fatihah, tiba tiba badan terasa seram sejuk dan tak enak.

"Tiba tiba saya jatuh. Bersujud," cerita pelantun lagu Nakal ini.

Menurutnya lagi, beliau bersyukur kerana posisi jatuh seperti bersujud.

"Selepas pengsan sebentar dan terjatuh, saya masih boleh mengawal diri. Saya duduk. Duduk di antara dua sujud.

"Saat itu jemaah lain ingat saya kena stroke. Ada juga yang ingat saya telah meninggal dunia," katanya mengenang kejadian tersebut.

Namun setelah stabil dari pengsan, Armand mengambil masa menenangkan dirinya. Melihat beliau 'masih hidup', jemaah yang panik menjadi tenang.

"Oh tak apa-apa, Armand tak apa-apa, sedar," katanya sambil menirukan cara jemaah lain menguruskannya pada waktu itu.

Tambah Armand peristiwa dirinya pengsan sewaktu solat sehingga diingat meninggal dunia oleh para jemaah memberi kesan yang besar kepada dirinya.

"Ternyata benar ya kalau Tuhan mahu ambil nyawa kita, ya begitu saja diambil. Mahu diambil sewaktu buat persembahan atau semasa solat, ya diambil.

"Waktu itu (pengsan) saya fikir telah meninggal. Takut, teringatkan anak dan isteri saya," akuinya.

Instagram: @armandmaulana04
#Indonesia #Pengsan #Meninggal #Vokalis #Dunia #Armand Maulana #Gigi #Solat Subuh
;