Laman Utama

Pengumuman Pakej Bantuan Khas: Pembayaran Pendahuluan Sehingga RM1,000 Bagi Pemohon i-Sinar Kategori 2

gempak
Fiza Kamarudin
18/01/2021
09:06 MYT
Sponsor Banner
Pengumuman Pakej Bantuan Khas: Pembayaran Pendahuluan Sehingga RM1,000 Bagi Pemohon i-Sinar Kategori 2
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1,000 bagi permohonan i-Sinar kategori 2.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata demikian dalam Pengumuman Pakej Bantuan Khas yang disiarkan secara langsung pada Isnin.
Menurutnya, setakat 13 Januari, lebih 3 juta permohonan telah diluluskan dengan jumlah 24 bilion ringgit akan disalurkan pada tahun ini.
"Kerajaan dimaklumkan bahawa KWSP akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1,000 bagi permohonan i-Sinar kategori 2.
"Proses pembayaran pendahuluan i-Sinar Kategori 2 juga dipermudahkan kerana ahli hanya perlu mengisytiharkan secara kendiri bahawa mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan dan menghantar dokumen sokongan secara dalam talian.
"Kerajaan juga telah meminta KWSP memudahkan proses pembayaran pendahuluan ini, yang akan dibuat mulai 26 Januari. Maklumat lanjut akan diumumkan oleh KWSP dalam masa terdekat," katanya.
Terdahulu, pembayaran untuk permohonan bagi kategori 1 yang layak akan bermula dari pertengahan Januari 2021.
Kriteria permohonan bagi kategori 1 melibatkan ahli yang bekerja di sektor formal, yang bekerja sendiri, yang bekerja di dalam sektor ekonomi gig, yang sudah lama tidak mencarum, yang hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.
Sementara itu, Muhyiddin turut menjelaskan pelaksanaan moratorium, termasuk lanjutan moratorium, dan pengurangan ansuran pinjaman akan ditawarkan oleh bank-bank, sepeti yang diumumkan sebelum ini.
Menurutnya, bagi negeri-negeri yang dilanda banjir, 15 buah bank juga telah pun menawarkan moratorium bayaran balik pinjaman.
"Setakat ini sebanyak 1.3 juta peminjam telah memohon dan menerima bantuan bayaran dengan kadar kelulusan sebanyak 95 peratus bagi peminjam individu dan 99 peratus bagi PKS," katanya.
Intipati Pengumuman PM Mengenai Pakej Bantuan Khas:
  • Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion
  • Sebanyak 22 inisiatif di bawah PERMAI, berteraskan tiga matlamat utama
  • Kerajaan tandatangani tiga perjanjian dengan syarikat pengeluar vaksin, bekalan vaksin pertama dijangka diterima penghujung Februari
  • Pemberian sekaligus RM500 kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan, RM300 rkepada petugas barisan hadapan lain mula dibayar pada suku tahun pertama tahun ini
  • Ketelusan perolehan vaksin, Program Imunisasi Kebangsaan diberi perhatian utama melalui J/kuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19
  • Kerajaan tambah lebih 3,500 petugas kesihatan yang akan bertugas hujung Januari, dengan peruntukan tambahan RM150 juta
  • Hospital swasta setuju terima, rawat pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19 bagi ringankan tekanan sistem kesihatan awam, RM100 juta diperuntukkan bagi tujuan itu
  • Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam putuskan hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus, wajib diambil golongan ditetapkan
  • Moratorium, termasuk lanjutan moratorium, dan pengurangan ansuran pinjaman akan ditawarkan oleh bank- bank, seperti yang diumumkan sebelum ini
  • iSinar - Setakat 13 Januari, lebih 3 juta permohonan telah diluluskan dengan jumlah RM24 bilion akan disalurkan pada tahun ini
  • JKM akan laksana Program Bakul Makanan bernilai RM100 ringgit bagi setiap isi rumah yang layak
  • Pelepasan cukai khas sehingga RM2,500 bagi pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet dilanjutkan sehingga 31 Dis 2021
  • Bayaran fasa terakhir BPN 2.0 akan dipercepatkan iaitu mulai 21 Jan
  • Pemberian percuma data 1 Gigabit kepada orang ramai termasuk bagi tujuan pendidikan mulai awal bulan ini hingga April
  • PTPTN: Mereka terjejas boleh memohon moratorium bayaran balik pinjaman selama tiga bulan sehingga 31 Mac
  • Program Subsidi Upah 3.0 di bawah PERKESO akan ditambah baik, semua majikan yang beroperasi semasa PKP layak untuk memohon tanpa mengambil kira sektor
  • Bantuan sekaligus RM500 kepada pemandu pelancong, pemandu teksi serta pemandu bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live