Kerajaan akhirnya mendengar keluhan rakyat apabila memberi kelonggaran kepada premis kedai makan dan restoran dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam, bermula hari ini.

Sebelum ini, operasi melibatkan premis kedai makan dan restoran hanya dibenarkan bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam.

Namun Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan operasi premis makanan juga dibenarkan mula beroperasi seawal jam 6 pagi, dua jam lebih awal dan ditutup lewat dua jam daripada sebelumnya.

Menurutnya, keputusan terbaharu itu dibuat selepas mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan.

"Setelah mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan, sidang mesyuarat bersetuju untuk menukar waktu operasi premis yang menjual makanan bermula jam 6 pagi hingga 10 malam berkuat kuasa 28 Jun 2021," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad seperti dilaporkan Awani.

Terdahulu ramai yang mengeluh apabila kedai makan hanya beroperasi selama 12 jam dan ditutup pada jam 8 malam.

Salah seorang influencer terkenal, Khairul Aming semalam sempat mencuit di Twitternya meminta operasi kedai makan dilanjutkan sehingga jam10 malam dengan alasan hanya untuk memberi peluang peniaga bernafas dan pembeli membungkus makanan untuk dibawa pulang.

Selain itu, ramai yang lega apabila akhirnya kedai makan akan beroperasi sehingga jam 10 malam.

Terdahulu kerajaan memutuskan untuk mengehadkan operasi perniagaan di seluruh negara dari 8 pagi sehingga 8 malam sahaja bermula 25 Mei.

Penguatkuasaan itu melibatkan seluruh negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Waktu operasi itu meliputi gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja, gerai makan atau kiosk jualan makanan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran, kedai runcit, kedai serbaneka, kedai keperluan harian dan kedai makanan haiwan.

Semalam kerajaan juga mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tamat pada hari ini dilanjutkan selepas kes positif COVID 19 masih gagal mencapai di bawah 4,000 angka.

Foto: BERNAMA