HIBURAN

Penjara Narathiwat Sahkan Eda Ezrin Belum Tuntut Cerai, Masih Bertemu Suami Sebulan Sekali

Gempak 03/08/2025 | 01:50 MYT
Penjara Wilayah Narathiwat menolak dakwaan bahawa penyanyi dikir barat moden Malaysia, Eda Ezrin, telah memfailkan permohonan cerai (fasakh) terhadap suaminya yang kini ditahan di penjara sama sejak November tahun lalu.

Pengarah penjara, Surin Chantep, menegaskan bahawa tiada sebarang permohonan berkaitan fasakh pernah diterima daripada penyanyi berusia 30 tahun itu, sekali gus menafikan khabar angin yang berlegar sejak kebelakangan ini.

"Tiada sebarang permohonan diterima daripada Eda Ezrin. Dakwaan tersebut hanyalah spekulasi semata-mata. Malah, beliau sendiri tidak pernah menyuarakan apa-apa berkenaan perkara itu," katanya ketika ditemui media Malaysia baru-baru ini.

Menurut Surin, Eda yang juga ibu kepada dua cahaya mata berada dalam keadaan baik dan kelihatan lebih bersemangat, terutama selepas menerima kunjungan anak-anaknya baru-baru ini.

"Bagi pengetahuan semua, pihak penjara membenarkan beliau bertemu suaminya yang turut berusia 30 tahun sekali sebulan, setiap hari Rabu. Tempoh lawatan itu selama 20 minit dan diawasi oleh pegawai penjara," jelasnya lagi.

Khabar angin mengenai hasrat Eda untuk berpisah dari suaminya mula tersebar dalam kalangan peminat dan keluarga penyanyi itu sejak beberapa minggu lalu.

Program 'Bersama Keluarga' bantu kesejahteraan emosi banduan

Dalam pada itu, Surin memaklumkan bahawa Penjara Wilayah Narathiwat telah menganjurkan program khas dinamakan “Bersama Keluarga”, bertujuan memberi ruang kepada banduan warga Malaysia bertemu dan berinteraksi dengan keluarga dalam suasana yang lebih santai dan mesra.

Program dwitahunan itu, katanya, diadakan bagi menyokong kesejahteraan mental serta proses pemulihan banduan melalui peluang untuk makan bersama, berbual, dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.

"Program kali ini berlangsung dari 21 hingga 25 Julai, dengan penyertaan hampir 20 keluarga banduan termasuk keluarga Eda Ezrin.

"Inisiatif ini membolehkan banduan bertemu keluarga secara fizikal dan ia sangat penting dalam membina semula emosi serta hubungan mereka," ujar Surin.

Program tersebut turut mendapat perhatian dan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Thai bagi Undang-Undang, Keadilan dan Hak Asasi Manusia, Kamonsak Leewamoh.
#Penyanyi #Suami #Thailand #Narathiwat #Eda Ezrin #Fasakh #Bea Soba Bea