Isnin lalu, penggemar dan penonton drama bersiri I-Tanggang disajikan dengan konflik yang sangat menyayat hati. Setelah sekian lama menyimpan rahsia daripada ibunya, Erma, Khay akhirnya kantoi memiliki telefon bimbit dan menggunakan gajet tersebut untuk berhubung dengan dua rakan yang ditemui di alam maya.

Berang dengan perangai Khay yang dianggap ingkar terhadap dirinya, Erma bertindak menghukum Khay dengan melenyekkan jari jemari anaknya itu dengan menggunakan lesung batu.

Tidak cukup dengan itu, Khay kemudian disumbat dalam bilik stor semalaman dan segala permintaan remaja itu tidak dipedulikan Erma.

Kejam bukan? Hal ini menimbulkan banyak spekulasi dalam kalangan penggemar drama yang mengangkat masalah mental Munchausen Syndrome by Proxy itu.

Menerusi tinjauan Gempak di Twitter, penonton yang telah menonton sedutan episod akan datang hadir dengan teori baharu dan menebak siapakah yang bertanggungjawab membunuh Erma.



“Tengok iklan episod akan datang I-Tanggang, kalau si Syafiq tu pengsan, Khay pula lemah sebab tak makan dan minum, maka yang bunuh Erma tu mesti Esra... gila bunuh gila... tu pun kalau tekaan aku tepat la hahaha.. bila nak minggu depan ni,” tulis seorang pengguna Twitter.

Namun, menerusi beberapa temu bual yang dilakukan dengan pelakon dan pengarah sebelum ini, khabarnya banyak plot twist yang terisi dalam I-Tanggang. Justeru, mungkin tebakan yang diberikan oleh penonton hanya berdasarkan potongan klip semata-mata dan untuk mengetahui dengan lebih lanjut, perlu menonton I-Tanggang sehingga tamat.

I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay, penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay pula merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya.

Konflik tercetus apabila Khay bertemu dengan dua rakan virtualnya, Royal-E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) lalu menubuhkan kumpulan sembang ‘I-Tanggang’.

Dilakonkan oleh Faizal Hussein, Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofea, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofia Jane dan Andy Teh drama I-Tanggang disiarkan setiap Isnin, bermula 13 September 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!