Malam ini, penonton setia drama bersiri I-Tanggang akhirnya bakal mendapat tahu kesudahan kisah tiga sekawan, Khay, Syafiq dan Esra yang sebelum terkait dengan jenayah berat iaitu cubaan untuk membunuh.

Hal ini bukan sahaja menjadi tanda tanya penonton, malah pelakon-pelakon drama ini juga tidak sabar untuk menyaksikan reaksi penggemar I-Tanggang apabila siri ini melabuhkan tirai tidak lama lagi.

Pelakon utamanya, Danish Haziq berkata, penonton boleh menjangkakan beberapa perkara pada episod akhir I-Tanggang.

“Malam ini bakal ditayangkan episod akhir I-Tanggang dan saya yakin pelbagai andaian yang bermain dalam kepala setiap penonton.

“Sudah pasti, episod terakhir ini merupakan episod yang paling dinanti-nantikan oleh setiap penggemar I-Tanggang,” katanya ketika dihubungi Gempak.

Selain itu, Danish berkata, dia yakin bahawa penonton bakal merindui drama I-Tanggang memandangkan jalan ceritanya yang unik dan tidak pernah dipersembahkan di layar kaca sebelum ini.

“Penonton I-Tanggang pasti akan merindui drama sebegini. Drama yang jarang atau mungkin drama pertama yang disiarkan di kaca televisyen Malaysia tentang konsep derhaka.

“Sudah pasti penggemar-penggemar drama ini akan mengharapkan supaya keadilan akan berpihak pada mereka yang tidak bersalah.

“Hukuman setimpal perlulah diberikan pada Esra yg penonton sudah nampak melakukan pembunuhan selain Erma sendiri yang sentiasa menganiayai anaknya, Khay,” ujar Danish lagi.

Dilakonkan oleh Faizal Hussein, Sherie Merlis, Nadhir Nasar, Emma Sofea, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofia Jane dan Andy Teh episod akhir drama I-Tanggang bakal disiarkan pada hari ini, 29 November 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.