Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Penonton Malaysia Suka Filem Seram Thailand - Pimpaka Towira

Syafiqah Jalal
07/03/2017 10:00 MYT
Pengarah filem indie Thailand, Pimpaka Towira mengakui penonton di Malaysia lebih menggemari filem seram dari negara Thailand berbanding negara Asia Tenggara lain.

Katanya, acuan filem seram yang dihasilkan di negara Thailand cukup sempurna dan mudah menyentuh jiwa penduduk di negara jiran khususnya Malaysia.

"Orang Asia memang menggemari filem-filem seram yang dihasilkan di Thailand dan ia semakin diterima ramai oleh penonton di negara luar. Mungkin kerana setiap filem seram yang dihasilkan di Thailand mengandungi elemen seram yang padat dan pengajaran yang berguna kepada penonton.

"Saya sendiri pernah menghasilkan filem pendek Mae Nak (berkisarkan kisah hantu Mae Nak Phra Kanong) pada tahun 1997 malah untuk filem Island Funeral pun saya ada menyelitkan sedikit elemen seram," katanya yang ditemui pada majlis pengenalan lima pengarah Asia Tenggara untuk saluran A-List hari ini.

Menerusi sesi SEA Director Focus, Pimpaka bersama empat pengarah filem indie lain akan berkongsi pandangan dan cara kerja filem-filem yang dihasilkan mereka yang telah berjaya memenangi pelbagai pengiktirafan peringkat antarabangsa.



Sebuah karya terbaharu Pimpaka berjudul Island Funeral akan ditayangkan pada 5 April di saluran A-List (456) disusuli dengan empat karya lain.

Island Funeral mengisahkan seorang wanita muda beragama Islam yang berpindah ke selatan Thailand yang mana lebih 2,300 orang telah terbunuh sejak pemberontakan Islam beberapa tahun lalu.

"Island Funeral merupakan satu metafora kepada penduduk di negara Thailand sebenarnya yang sering membeza-bezakan agama dan kedudukan. Ia satu sinikal juga kepada penduduk di ibu kota Bangkok yang terlalu takut untuk ke selatan Thailand sedangkan daerah tersebut mempunyai pelbagai khazanah alam yang menarik," katanya.

Berkongsi pengalaman melakukan penggambaran selama 10 hari sekitar dua tahun lalu di bahagian Pattani (selatan Thailand), Pimpaka memberitahu dia mempertaruhkan nyawa 20 orang krew demi menyiapkan filem tersebut.

"Island Funeral adalah filem dalam filem. Kami memasuki kawasan terpencil tanpa membawa peralatan penggambaran yang terlalu besar dan merisikokan keselamatan masing-masing.

"Kami juga perlu menjauhkan diri daripada anggota tentera yang bertugas kerana bimbang akan diserang pemberontak," tambahnya yang sedang menyiapkan filem The General's Secret.

Island Funeral telah memenangi
Best Asian Future Film Award pada Tokyo International Film Festival 2015, FIPRESCI Award (Hong Kong International Film Festival 2016) dan Silver Hanoman Award (Jogja-NETPAC Asian Film Festival 2016).

Selain Pimpaka, empat pengarah filem lain akan menyiarkan karya masing-masing dalam slot SEA Director Focus. Mereka adalah Bradley Liew (Singing in Graveyards), Brillante Mendoza (Ma' Rosa), Davy Chou (Diamond Island) dan Tsai Ming Liang (Stray Dogs).

SEA Director Focus akan bersiaran bermula April, setiap Rabu jam 10 malam di saluran A-List (456).



Teks oleh: Amri Hassan
#A-List #Director #Focus #Pimpaka Towira #SEA
;