Isu bakat atau rupa yang pernah diutarakan oleh sutradara Datuk A. Aida masih menjadi perdebatan hangat dalam kalangan penggiat industri seni tempatan.

Sehubungan itu, satu sesi forum berjudul Antara Cantik dan Bakat? Di Manakah Pengukuh Kredibiliti? telah diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Isnin bagi membincangkan perkara berkenaan.



Panel yang terbabit antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Prof. Dr. Md Nasir Ibrahim, pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam serta pelakon Noorkumalasari, Sharifah Rose serta Hariz Hamdan.

Fahrin Ahmad pula menjadi moderator acara tersebut.



Menurut Presiden Persatuan Penulis Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, objektif penganjuran forum ini juga untuk memaparkan realiti sebenar dalam dunia yang serba canggih ini, di mana begitu ramai sekali yang ingin memilih bidang lakonan sebagai kerjaya.

"Ramai yang mahu menjadi seorang pelakon yang hebat tetapi tidak ramai tahu teknik lakonan berkesan di skrin layar.

"Ada banyak rahsia penting yang turut diambil kira sewaktu anda melangkah masuk ke dalam bilik uji bakat juga ketika hendak mendalami sesuatu watak," katanya.

Tengku Khalidah berkata, forum ini juga berkongsi tip-tip penting oleh ‘pakar’ dalam bidang lakonan yang akan menunjuk cara, strategi, sikap dan pendekatan yang perluada dalam diri seseorang yang ingin menjadikan dunia lakonan sebagai kerjaya professional mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, acara ini mengisi kalendar perancangan promosi FFM32.

"Ini adalah sebahagian daripada rangka promosi menuju (FFM32), dan acara-acara ini memeriahkan lagi suasana menjelang hari festival. Kami jemput tokoh-tokoh hebat dari industri dan membincangkan topik yang dicetuskan oleh Datuk A Aida.

"Kita dapat dengar pelbagai pandangan untuk membantu membangunkan industri. Selain itu, forum hari ini juga mengetengahkan peranan Finas dalam berkongsi ilmu dengan pelajar-pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM," katanya.

Noorkumalasari setuju paras rupa penting!

Berkongsi pengalaman ketika mula menceburi bidang lakonan dahulu, Noorkumalasari bersetuju jika paras rupa amat penting kerana ia juga merupakan kehendak penonton.



Bagaimanapun jika seseorang pelakon itu mempunyai bakat yang besar, istilah cantik itu dapat diterjemahkan menerusi kualiti lakonan yang disampaikan.

"Penonton mahu melihat rupa dan bakat, jadi memang tidak boleh dinafikan seseorang pelakon itu perlu ada paras rupa cantik. Memiliki kedua-dua itu adalah satu anugerah.

"Bagaimana seorang pelakon yang kurang dari segi paras rupa namun ada bakat besar dia masih boleh menjadi watak utama. Lihat bagaimana industri Hollywood ketengahkan bakat mereka. Cantik itu boleh dilihat menerusi watak yang mereka sampaikan," jelasnya.

Sharifah Rose pernah dilabel kayu!

Bagi pelakon muda Sharifah Rose, memiliki paras rupa menawan boleh membuka jalan seseorang untuk mula menceburi bidang seni.

"Pada awal pembabitan dalam industri saya sangat risau sebab tiada pengalaman tetapi tetap mahu mencuba. Bagi saya benar rupa boleh jadi pembuka jalan namun perlulah ada inisiatif untuk terus belajar.

"Saya pernah dilabelkan sebagai pelakon ‘kayu’. Kritikan itu saya jadikan sebagai pembakar semangat dan manfaat untuk perbaiki diri," katanya.

Hariz Hamdan kata rupa paras subjektif

Sementara itu Hariz berpendapat bakat adalah aspek utama yang membolehkan seseorang pelakon itu kekal relevan dan terus menjadi perhatian produksi.

Dalam masa sama, penilaian rupa paras itu adalah sesuatu yang subjektif dan terpulang kepada citatasa seseorang untuk menentukan pelakon itu cantik atau sebaliknya.

"Soal wajah itu sangat subjektif, ada orang kata saya handsome dan ada yang tidak. Semua itu terpulang kepada cita rasa masing-masing.

"Kalau pilih pelakon cantik, lebih baik ambil model berlakon. Bagi saya tugas penting seorang pelakon adalah menjayakan watak di hadapan kamera. Bakat yang akan membawa seorang pelakon itu maju ke hadapan dan kekal relevan," ujarnya.



Pada acara tersebut turut hadir sama adalah Pengerusi FINAS, YB Senator Datuk Seri Zurainah Musa, penerbit Datuk A. Aida dan Ketua Kluster Komunikasi Pusat Pengajian Media & Komunikasi, UKM, Dr. Ammar Redza Ahmad Faizal.

Acara ini merupakan anjuran Finas sebagi salah sebuah program sempena Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) dengan kerjasama WHAM dan Pusat Pengajian Media & Komunikasi, UKM.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!