Viral
Penulis Buku Kecewa Tulisan Diciplak Artis, Tegur Jangan Semberono! - "Mereka Ramai Pengikut, Tak Terlawan Saya Geng Artis Ni"
Penulis buku Travelog Hati Kembara Itu Hijrah, Haitun Kamarazaman terkilan dan kecewa dengan tindakan golongan selebriti yang menciplak tulisannya.
Kata Haitun, 46, seseorang individu berstatus selebriti dan punyai ramai pengaruh tidak seharusnya menganiaya orang lain sepertinya.
"Tak sangka artis yang mula buat kerja begini. Saya hanya terkejut dan kecewa apabila perkara ini berlaku kepada saya pula kali ini.
"Saya tak mahu glamor dengan cara ini, pendek kata tak terlawanlah saya dengan geng-geng artis ni. Mereka ada pengikut yang ramai.
"Cuma saya fikir, artis tidak sepatutnya mengambil ayat seseorang dan meletakkan di media sosial milik mereka tanpa kredit," katanya kepada Gempak.
Haitun yang mula menjadi penulis sejak tiga tahun lalu turut terkejut apabila tulisannya dalam buku Travelog Hati Kembara Itu Hijrah mendapat perhatian daripada beberapa artis terkenal termasuk pendakwah tempatan.
Buku yang ditulisnya itu menceritakan pengalamannya mengembara seluruh dunia berdasarkan perspektif budaya dan agama masyarakat setempat.
"Benar kalau ikutkan memang salah, tetapi saya sejujurnya malas nak panjangkan perkara ini dan berharap mereka ada kesedaran untuk tidak mengulanginya lagi selepas ini sama ada ke atas saya atau penulis lain.
"Saya tak nak saman-menyaman jadi saya maafkan saja. Seperkara perlu ingat, budaya mencuri hasil kerja orang lain tak patut berlaku.
"Saya cuma harap saya masih boleh terus menulis dan golongan popular seperti artis ini tidak akan menciplak lagi ayat orang lain dan buat macam tulisan sendiri lagi," tambahnya.
Sepanjang karier sebagai penulis, Haitun telah menghasilkan 3 buah buku solo, berbelas buku antologi serta sebuah novel antaranya Bertatih Mencari Diri dan Salju Rindu Di Kota Edinburgh.
Terdahulu, tular di media sosial apabila ada selebriti tempatan yang bertindak menciplak tulisannya dan diletakkan di media sosial tanpa rujukan sumber.
Tindakan itu mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penulis buku serta peminat masing-masing.