Penulis lirik Menuju Puncak yang menjadi lagu tema program realiti terkenal iaitu Akademi Fantasia (AF), Tessh, 49, meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya, pada jam 5.46 pagi tadi akibat serangan jantung.

Berita pemergian Tessh itu disahkan oleh Pengarah Urusan Taja Archive Publishing, Nafisah Yusof atau Kimmy.

"Mendiang dikejarkan ke Hospital Putrajaya, Isnin lalu selepas mengadu sakit dada dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

"Semalam, mendiang dipindahkan ke Hospital Assunta. Mendiang disahkan meninggal dunia pada jam 5.46 pagi tadi.

"Anaknya memaklumkan ketika ini, anggota keluarga mendiang masih berada di hospital untuk menguruskan jenazah untuk dibawa ke kediaman mereka," katanya seperti yang dilapor BH Online.

Berkongsi pandangan mengenai Tessh atau nama sebenar, R Shathesh, Kimmy menyifatkan mendiang memiliki keperibadian mulia.

"Meskipun terkenal tetapi mendiang sangat merendah diri. Beliau banyak membantu penulis lirik menjadi lebih maju dan berdaya saing.

"Mendiang juga mahu diambil sebagai contoh bahawa bidang penulisan boleh dijadikan bidang profesional asalkan pegangan asas hak cipta difahami dan dijaga sebaiknya," katanya.

Mendiang meninggalkan seorang balu, Jennifer Natividad, 50, dan seorang anak lelaki, Miguel Rosshaan Shathesh, 14.

Untuk info, selain Menuju Puncak, Tessh juga menghasilkan lirik lagu, Bisakah dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Tessh yang menggunakan nama pena Tinta ini juga menghasilkan lirik Beribu Sesalan (Ning Baizura, Shila Amzah dan Jaclyn Victor), Ingin Bersamamu (Datuk Syafinaz Selamat ), Seribu Impian (Casey) dan Gemuruh (Faizal Tahir).

BH Online