Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Penunggang Motosikal Disaman Sebab Ada Pocong Bonceng Belakang Tak Pakai Helmet?

Asyraf Roslan
11/09/2024 11:55 MYT
Baru-baru ini, tular beberapa keping gambar di laman X yang menyatakan seorang pemuda telah dikenakan saman lalu lintas gara-gara ‘pocong’ tidak memakai topi keledar.

Bagaimanapun, pihak polis Indonesia menegaskan bahawa maklumat itu adalah tidak benar.

Menurut Ketua Satuan Lalu Lintas Polres Pasuruan, AKP Deni Eko Prasetyo, gambar-gambar yang tular itu sebagai palsu.

Beliau mengesahkan bahawa penunggang motosikal itu sebenarnya disaman kerana tidak memakai topi keledar dan bukannya kerana membawa pocong seperti yang didakwa.

“Itu bohong. Dia disaman kerana tidak memakai helmet, kejadian itu berlaku di Jalan Ahmad Yani, Bangil, pada 8 Ogos 2024,” Jelas Deni pada Selasa.

Deni juga turut menunjukkan bukti gambar asal dari hasil tangkapan kamera ETLE (Electronic Traffic Law Enforcement).

Dalam foto tersebut tiada sosok putih ‘pocong’ seperti yang didakwa tetapi yang kelihatan adalah bayangan di belakang penunggang yang dimanipulasi hingga kelihatan seperti sosok menyeramkan berwarna putih.

Deni juga memberitahu bahawa penunggang motosikal tersebut telah dikenakan saman kerana melanggar peraturan lalu lintas namun telah membayar sama tersebut mengikut prosedur yang ditetapkan.

Kejadian tersebut berlaku di Pasuruan, wilayah Jawa Timur.

Sebelum ini tular beberapa keping gambar di platform X oleh akaun @idaman_makmu yang memaparkan satu saman dikenakan terhadap penunggang motosikal kerana pocong yang membonceng motosikal itu tidak memakai topi keledar.

Siaran itu menjadi tular dan meraih lebih 3.2 juta tontonan bersama 81,000 tanda suka.

Sumber: Detik News

#Pocong #Polis Indonesia #Penunggang Motosikal #Tak Pakai Helmet