Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Penyakit Akan Ada Walau Kita Muda" - Chris Hemsworth Hidap Alzheimer, Warisi Genetik Keturunan

Maliah Surip
21/11/2022 15:55 MYT
Bintang Marvel, Chris Hemsworth secara tidak sengaja telah mengetahui tentang tahap kesihatannya selepas terbabit dalam siri dokumentari dari National Geographic, Limitless.

Menerusi dokumentari itu, Hemsworth menjalani ujian kesihatan dan mahu melihat bagaimana kehidupannya pada masa hadapan akan terjadi.

Namun, bintang Thor and Extraction itu dikejutkan dengan keputusan yang diperoleh dan ia umpama mimpi ngeri yang datang menyapanya.

Hemsworth dalam satu temu bual bersama Vanity Fair mengatakan dirinya kini berdepan risiko mendapatkan Alzheimer. Alzheimer adalah sejenis penyakit yang membuat seseorang semakin kehilangan keupayaan mengingat dan berkomunikasi.

Ia biasanya terjadi kepada golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas. Namun, Hemsworth kini baru berusia 39 tahun dan telah mendapat ‘signal’ dirinya menuju ke arah Alzheimer.

“Apa yang penting buat masa sekarang, saya tidak mahu perkara ini (penyakit) dimanipulasi dan kelihatan sangat dramatik. Saya juga tidak mahu menimbulkan rasa simpati atau ia menjadi bahan hiburan,” ujar aktor tersebut.

Dalam temu bual sama, Hemsworth mendedahkan dirinya berdepan penyakit tersebut kerana genetik. Dia mengaku datuknya mempunyai Alzheimer dan keluarganya juga sudah mengetahui tentang masalah kesihatan yang dihadapi.

“Sudah beberapa tahun saya tidak bertemu datuk, tapi menurut ibu ada masanya dia sangat ramah. Saya tidak pasti dia boleh mengingat dengan banyak atau tidak,” akuinya.

Suami kepada Elsa Pataky itu, ujian kesihatan yang dilakukan benar benar memberi refleks kepada dirinya.

Bapa kepada tiga orang cahayamata ini mengatakan menerusi salah satu episod dokumentari itu, dia berpeluang bekerja dengan banyak individu yang menyedarkannya tentang kehidupan.

“Penyakit akan ada walaupun kita muda. Ada yang menghidap kanser pada usia muda dan tidak punya masa lama untuk hidup.

“Perspektif positif yang saya dapat setelah tahu mengenai penyakit sendiri adalah saya mungkin tidak akan merubah cara hidup yang telah dilakukan sekarang.

“Saya benar benar tak sedar mengenai penyakit ini dan sekarang saya melakukan banyak persediaan untuk menghadapinya,” katanya.

#Hollywood #Chris Hemsworth #Thor #Alzheimer
;