Hiburan
Penyakit Bipolar Mania Berpunca Daripada Pengaruh Dadah & Kecaman Netizen? Ini Penjelasan Zynakal!
Penyanyi muda, Zynakal tidak menafikan penyakit bipolar mania iaitu satu penyakit gangguan mental yang dihidapinya penghujung tahun lalu turut berpunca daripada kecaman netizen di media sosial.
Menurut Zynakal, penyakit berkenaan boleh dihidapi jika seseorang itu terlalu tertekan, tidak cukup tidur, tidak menjaga makan atau terlalu penat bekerja.
Malah, Zynakal juga akui sikapnya yang kerap melayan komen netizen atau 'haters' juga antara punca yang menyebabkan dirinya tertekan, sekali gus terdedah dengan penyakit berkenaan.
"Banyak punca yang menyebabkan seseorang ada gangguan bipolar mania dan antaranya terlalu tertekan.
"Untuk saya sendiri, memang silap saya kerap sangat layan mereka (netizen), balas semua komen jadi sampai tertekan," katanya.
Ditanya berhubung spekulasi mendakwa dia sebenarnya di bawah pengaruh dadah, penyanyi yang popular dengan lagu terbang itu menafikan perkara berkenaan.
"Mungkin orang lain sebab dadah tapi bagi saya tidaklah. Ujian air kencing ketika ditahan polis juga negatif.
"Sekarang ni saya banyakan ambil ubat-ubatan dan enam minggu sekali akan berjumpa doktor. Alhamdulillah saya semakin pulih dan azam tahun 2020 ini saya mahu bersihkan semula nama saya," katanya.
Zynakal ditemui ketika sidang media pelancaran lagu terbarunya berjudul Sakit di pejabat Indigital Music, Damansara Perdana, hari ini.
Lagu berkenaan hasil kolaborasi Zynakal bersama rakannya, Yonny Boii.
Sudah dua minggu dimuat naik di YouTube, lagu Sakit hingga kini telah menerima sebanyak 3.8 juta tontonan.
Terdahulu, Zynakal mencetuskan kontroversi apabila mencekik seorang pekerja stesen minyak dan menghalang tugas anggota polis.
Akibat tindakannya itu, dia telah didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ampang Kuala Lumpur.
Susulan daripada itu juga, Zynakal dihantar untuk mendapatkan rawatan di wad psikiatri Hospital Kuala Lumpur.
Difahamkan penyanyi yang popular dengan lagu Terbang itu menghidapi penyakit bipolar mania iaitu salah satu penyakit gangguan mental.
Antara simptom penyakit tersebut adalah berhalusinasi, perwatakan yang berubah-ubah, terlebih aktif dan kurang tidur.