Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Gaya Hidup

Penyakit Kucing Yang Boleh Membunuh Manusia!

Syafiqah Jalal 25/04/2017 | 09:41 MYT
Kucing merupakan antara haiwan yang paling disayangi dan ramai di antara kita memilih kucing sebagai haiwan peliharaan.
Namun, tahukah anda bahawa terdapat penyakit yang dihidap oleh kucing dan boleh berjangkit dengan manusia sehingga menyebabkan kematian?
Penyakit ini akan berpindah kepada manusia melalui cakaran, gigitan, sentuhan dan najis.
Berikut kami kongsikan penyakit paling bahaya yang boleh berjangkit daripada kucing:
1. Toxoplasmosis
Tahukah anda, sebenarnya Toxoplasmosis ini disebabkan oleh parasit Toxoplasma gondii yang membiak di dalam sel usus kucing. Kucing terbiar atau kucing yang tinggal di luar rumah lebih mudah dijangkiti penyakit ini kerana mereka makan tikus, serangga, atau berinteraksi dengan kucing lain yang telah dijangkiti. Kucing yang dijangkiti penyakit ini akan nampak sihat pada luaran, tetapi dalamannya tidak.
Penyakit ini juga boleh berpindah ke dalam badan manusia jika tersentuh najis kucing yang telah dijangkiti, tetapi tidak mencuci tangan dengan bersih sebelum makan.
Jika anda seorang yang sihat, penyakit ini mungkin hanya akan memberi kesan sampingan seperti selsema. Namun, jika penyakit ini berjangkit kepada bayi di dalam kandungan, ianya akan mengakibatkan bayi tersebut mengalami masalah penglihatan, selain boleh menyebabkan keguguran.
2. Rabies
Rabies boleh berjangkit kepada kucing anda apabila ia digigit dengan haiwan lain seperti anjing. Setelah virus tersebut disebarkan kepada kucing anda, akan menjadi masalah besar sekiranya kucing tersebut menggigit manusia.
Di peringkat awal, penyakit ini menyebabkan manusia sakit tekak, pening kepala, demam, loya dan muntah. Selain itu, ia juga boleh berjangkit ke bahagian otak dan mengawal pernafasan serta mengawal keupayaan menelan dan menyebabkan penghidapnya mengeluarkan air liur yang banyak dan menjadi agresif. Manusia yang dijangkiti penyakit ini juga boleh menyebabkan kematian sekiranya tidak dirawat.
Tips Pencegahan
Anda boleh mengelak daripada dijangkiti penyakit berbahaya ini dengan menjaga kebersihan kucing secara teliti. Pastikan sisa buangan dan najis kucing anda diuruskan dengan baik. Selain itu, anda juga haruslah memastikan kebersihan tangan sentiasa dijaga agar terhindar daripada penyakit-penyakit ini.
Sumber : Iluminasi.com
Olahan : Izzat Ridzwan
#Gaya Hidup #Tips
;