Penyanyi Baru Isma Sane Sukar Nak Kikis Rasa Segan & Malu

Kamaruddin Razal
Ogos 28, 2019 02:22 MYT
Biarpun lagu pertamanya mendapat sambutan positif, penyanyi baru Isma Sane mengakui sukar untuk mengikis rasa malu dan segan.
Bernaung di bawah label Begood Music, single sulung Isma yang berjudul Derita mendapat hampir 20 juta tontonan di laman YouTube.
"Saya akui, saya memang seorang yang pemalu. Sukar untuk saya kikis perasaan segan ini. Namun begitu, semakin lama saya dalam industri, saya sudah dapat menyesuaikan diri.
"Saya mahu mempertaruhkan bakat dan mahu menonjolkan kelebihan kepada peminat muzik. Alhamdulillah, saya mendapat tapak untuk memperkenalkan muzik saya dan amat menghargainya.
"Maklum balas peminat menjadi nadi utama untuk saya terus berkarya. Saya baru sahaja tamat belajar dalam bidang diploma dan buat masa ini, saya mahu menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap bidang nyanyian," katanya.
Isma ditemui di majlis pelancaran muzik video single terbarunya yang berjudul Kembali di Pak John Steamboat, IOI City Mall, Putrajaya baru-baru ini.
Bercerita mengenai single Kembali, Isma yang turut berbakat dalam bidang penciptaan lagu ini berharap agar peminat dapat menerima buah tangan terbarunya itu.
"Kembali adalah lagu balas untuk single pertama saya, Derita. Alhamdulillah, versi teaser yang saya muat naik di YouTube dengan hanya menggunakan petikan gitar sudah mendapat lebih 4.2 juta tontonan.
"Saya berharap versi studio lagu Kembali dapat diterima dengan baik. Insya-Allah, muzik video rasmi Kembali akan menemui peminat bermula 30 Ogos ini, jam 9 malam di saluran YouTube," kata Isma lagi.
#Penyanyi #Penyanyi #Isma Sane