Hiburan
Penyanyi Berstatus Datuk, 50 Selebriti Muflis
Jabatan Insolvensi (MDI) mendedahkan kira-kira 50 selebriti termasuk penyanyi terkenal bergelar Datuk yang dilihat berada dalam kategori 'artis kaya' masih kekal berstatus muflis, malah ada di antara mereka enggan bekerjasama membayar sumbangan bulanan ditetapkan selepas kes ditadbir agensi itu.
BERITA TRENDING: Tupperware Diisytihar Bankrap
Ketua Pengarah MDI, Datuk M Bakri Abd Majid, berkata sikap artis yang enggan menemui pegawai MDI bagi membincangkan kes kebankrapan walaupun notis bankrap sudah lama dikeluarkan kepada mereka atau gagal membuat sumbangan bulanan ditetapkan pihaknya, menyebabkan MDI sukar membantu melepaskan mereka terbabit daripada status muflis mengikut peruntukan udang-undang.
Beliau berkata, ada di antara artis berkenaan memaparkan kehidupan mewah mereka di media sosial, tetapi gagal melakukan pembayaran bulanan yang ditetapkan berdasarkan kemampuannya walaupun jumlah dikenakan adalah kecil.
Ada di antara artis berkenaan sepatutnya boleh dibebaskan daripada status bankrap, contohnya kes sudah melebihi lima tahun, tetapi disebabkan tidak memberi kerjasama baik atau langsung tidak bertemu pegawai MDI untuk membincangkan kes itu, jadi mereka kekal bankrap hingga kini.
"Memang jumlah selebriti yang muflis di negara ini tidak ramai, tetapi mereka yang mempunyai ramai peminat ini sewajarnya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat," katanya kepada Berita Harian.