HIBURAN
Penyanyi Kumpulan Popular Dibuang Selepas Didakwa Mencabul Jurubahasa
Ahli kumpulan ONE N’ ONLY, Kenshin Kamimura telah dibuang dari kumpulannya serta-merta selepas didakwa mencabul seorang wanita di Hong Kong.
Polis Hong Kong menerima satu laporan daripada seorang wanita pada malam Ahad yang mendakwa dirinya telah menjadi mangsa serangan seksual oleh seorang lelaki berusia lingkungan 25 tahun di sebuah restoren di Portland Street, Mong Kok.
Bagaimanapun, sumber mengesahkan bahawa suspek yang dimaksudkan itu adalah Kenshin Kamimura.
Menurut sumber, kejadian tersebut berlaku selepas kumpulan ONE N’ ONLY berkunjung ke sebuah restoren selepas selesai mengadakan perjumpaan peminat di Tung Chung di mana mangsa berkhidmat sebagai jurubahasa.
Selepas acara itu, ahli kumpulan bersama beberapa individu lain telah pergi ke restoran tersebut untuk meraikan kejayaan acara berkenaan.
Kamimura telah ditahan pada hari yang sama di Tsim Sha Tsui sebelum didakwa secara rasmi.
Dia kemudian dibawa ke Mahkamah Kowloon City pada Selasa untuk menghadapi satu pertuduhan serangan seksual dan kes ini kini sedang disiasat oleh pasukan penyiasatan daerah Mong Kok.
Agensi pengurusan kumpulan tersebut, Stardust Promotion, mengesahkan bahawa mereka telah menamatkan kontrak Kamimura serta-merta.
"Disebabkan pelanggaran serius terhadap pematuhan undang-undang yang dilakukan oleh ahli Kenshin Kamimura, kami dengan ini mengumumkan bahawa beliau telah menarik diri daripada kumpulan dan kontraknya dengan Stardust Promotion telah ditamatkan." katanya.
Mereka turut memohon maaf kepada peminat dan semua pihak yang terlibat atas pengumuman mendadak ini.
Walaupun kehilangan salah seorang anggotanya, kumpulan ONE N’ ONLY akan terus beroperasi sebagai kumpulan lima anggota tanpa sebarang perubahan terhadap jadual persembahan mereka di Jepun.
Namun, insiden ini menyebabkan beberapa acara pertemuan peminat terpaksa dibatalkan, termasuk yang dijadualkan berlangsung di Osaka pada bulan April dan Tokyo pada bulan Mei.