Penyanyi legenda India S. P. Balasubrahmanyam (SPB) meninggal dunia pada usia 74 tahun di Chennai pada Jumaat.

Balasubrahmanyam dilaporkan dijangkiti virus Covid-19 pada Ogos lalu.

Beliau pernah meminjamkan suara kepada kira-kira 40,000 buah lagu runut bunyi filem India.

Mendiang adalah penyanyi yang kerap menjadi pilihan komposer pemenang Oscar, BAFTA, Grammy dan Golden Globe iaitu A.R. Rahman.

Balasubrahmanyam juga pernah meminjamkan suaranya untuk menyanyikan runut bunyi filem lakonan Salman Khan antaranya Maine Pyar Kia dan Hum Aapke Hain Koun.

Antara lagu hit nyanyian mendiang ialah Dil Deewana, Mere Rang Mein Rangnewali, Didi Tera Dewar Deewana dan Pehla Pehla Pyar.

Balasubrahmanyam atau nama sebenarnya Sripathi Panditaradhyula Balasubrahmanyam dilahirkan di Nellore pada tahun 1946.

Beliau pernah memenangi pertandingan menyanyi sejak di sekolah dan universiti.

Kemudian, beliau memulakan kerjaya dalam arus perdana berbahasa Hindi dan menyanyi dalam semua bahasa utama India termasuk Tamil, Kannada, Hindi, Inggeris dan Malayalam.

Balasubrahmanyam juga menceburkan diri dalam bidang lakonan dan tampil dalam 50 buah filem.

Mendiang meninggalkan seorang isteri, Savitri dan dua cahaya mata iaitu Pallavi dan Charan.

Konsert Balasubrahmanyam akan ditayangkan semula di saluran Vinmeen dan koleksi filem nyanyiannya akan ditayangkan di Vellithirai.

Sumber: The Indian Express, The Star Online