Penyanyi Lelaki Didakwa Curi Kamera Ketika Hadiri Undangan Majlis Perkahwinan, Pemilik Buat Laporan Polis
Seorang penyanyi lelaki didakwa telah bertindak mencuri sebuah kamera ketika menghadiri undangan menyanyi di sebuah majlis perkahwinan, baru-baru ini.
Didakwa curi kamera
Menerusi perkongsian di akaun X (Twitter), seorang individu yang dikenali sebagai Nureen Imaan mendakwa bahawa penyanyi tersebut cuba melarikan sebuah kamera ketika majlis berlangsung dengan cara menyembunyikannya di dalam poket seluar.
“Awak tahu tak saya ada CCTV? Saya nampak dari CCTV, awak letak kamera tu dalam poket tak keluar-keluar,” ujarnya.
Bagaimanapun, penyanyi lelaki yang berusia 25 tahun itu menafikan tuduhan tersebut sebaliknya mendakwa bahawa dia hanya sekadar ingin meminjam kamera itu untuk digunakan sebagai ‘prop’ ketika bergambar.
Namun, Nureen turut mendakwa bahawa dia yakin penyanyi itu sememangnya berniat untuk mencuri kamera tersebut.
Ketika kejadian, dia sedang mencari kameranya yang hilang dan bertanyakan kepada semua orang, termasuk penyanyi berkenaan.
Namun penyanyi itu tidak memberitahu perkara sebenar bahawa dia telah ‘meminjam’ kamera tersebut.
“Semasa saya mencari kamera itu, saya pergi tanya semua orang termasuklah dia, tapi apa yang dia jawab adalah ‘oh I ada nampak tadi dekat atas meja, hilang ke?’ dan bukannya mengatakan kamera itu digunakan sebagai prop.
“Beraninya nak cuba mencuri di majlis perkahwinan yang kau sendiri dijemput untuk menyanyi? Lagi pula kau tu dikenali ramai. Berani betul.
Pada akhir hantaran itu, Nureen bagaimanapun telah membuat laporan polis berkaitan isu tersebut.
Malah, turut menafikan isu yang dihebohkan adalah gimik untuk mempromosikan lagu penyanyi tersebur.
Setakat artikel ditulis, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak penyanyi terbabit.
Sumber: X