Hiburan
Penyanyi OST Perempuan Tanpa Dosa Aliff Iskandar Mahu Jadi Versatil
Penyanyi runut bunyi drama bersiri Perempuan Tanpa Dosa, Aliff Iskandar bersyukur lagunya diterima baik oleh peminat meskipun masih ‘hijau’ di dalam industri.
Kata Aliff, 20, lagu berjudul Perit itu punyai keistimewaan daripada bait-bait lirik yang menusuk hati dan melodi indah hingga digemari ramai.
“Saya gembira kerana lagu tersebut diterima ramai tambahan pula bait-bait lirik yang ada begitu mencengkam perasaan. Ada yang terkesan bagai pernah melaluinya sendiri.
“Ini yang membuatkan saya bersyukur kerana Perit diterima ramai. Setidaknya ini akan membangkitkan semangat saya untuk menghasilkan lebih banyak karya-karya yang baik,” katanya.
Lagu yang dicipta oleh Aliff Iskandar dan lirik oleh Iman Imran ditulis berdasarkan novel Perempuan Tanpa Dosa tulisan Fatinilam Sari Ahmad. Kisah tersebut juga dijadikan drama oleh Micheal Ang yang menggandingkan Kamal Adli dan Uqasha Senrose.
Terdahulu, Micheal Ang dan Indigital Music membuat pencarian bakat baharu untuk menyanyikan runut bunyi berkenaan. Daripada ratusan penyertaan, Aliff Iskandar berjaya mengenepikan peserta lain seterusnya merakamkan lagu berkenaan.
“Sejujurnya saya gembira kerana terpilih untuk menyanyikan runut bunyi ini. Ditambah ini pula memang lagu sendiri, sudah pasti keterujaan itu berganda.
“Harapnya dengan pelancaran muzik video ini akan membuatkan lagu ini lebih diterima ramai,” kata bakal guru muzik yang sedang menuntut di Institut Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur.
Video muzik Perit telah dilancarkan sejak 12 November lalu melalui saluran YouTube Indigital Music.