Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Penyanyi Popular Digugurkan Dari Konsert Akibat Buang Kucing, Penganjur Gantikan Syaffiq Sahli - "Poster Asal Dah Siap, Akibat Kecaman Hebat Kami Pun ..."

Amri Hassan
31/10/2024 09:55 MYT
Trio popular Indonesia, TBA yang dahulunya dikenali sebagai Coboy Junior dan CJR dibawakan buat kali pertamanya untuk mengadakan konsert TBA Live ini Kuala Lumpur pada 29 November ini di Zepp Kuala Lumpur.

Kehadiran TBA yang dianggotai Teuku Ryzki, Bastian Steel dan Alvaro Maldini dibawakan oleh gandingan penganjur EVB Group dari Singapura, Ikarl Project dari Malaysia dan mendapat sokongan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama) serta Emina Cosmetic Malaysia selaku penaja.

Trio TBA yang popular menerusi lagu U-Uh ini meniti populariti menerusi genre pop dan persembahan bertenaga juga dikenali sebagai Coboy Junior dengan anggotanya Ryzki, Iqbaal, Bastian dan Aldi. Kumpulan ini juga popular dengan lagu seperti Kamu pada 2011, Eeaaa (2012) dan Kenapa Mengapa (2012).

Pengarah Urusan EVB Group, Ali Najib selaku penganjur berkata, mereka meletakkan keyakinan yang tinggi bahawa peminat akan disajikan dengan persembahan hebat, bertenaga dan dinamik daripada TBA.

“Kami sememangnya teliti dalam pemilihan artis untuk dibawa ke Malaysia. TBA adalah pilihan yang tepat memandangkan mereka mempunyai kualiti persembahan yang bermutu dan hebat.

“Menerusi konsert ini nanti, TBA akan mempersembahkan koleksi lagu-lagu hit serta beberapa lagu baru yang belum pernah didendangkan sebelum ini. Peminat akan dihiburkan dengan persembahan yang memukau, menjadikan malam itu pengalaman yang tidak boleh dilepaskan,” katanya.

Ali menambah, pada awalnya, mereka bercadang memilih Amir Hariz yang popular menerusi lagu Peluang Kedua untuk ditampilkan dalam konsert ini.

“Sebenarnya poster TBA bersama Amir Hariz juga sudah kami siapkan dan bagaimanapun kesilapannya memuatkan aktiviti membuang kucing menerusi TikTok membuatkan dia menerima kecaman daripada peminat dan Persatuan Pencinta Kucing.

“Kesan daripada kecaman ini turut terkena tempiasnya pada TBA sehingga ada peminat mengecam mereka kerana memilih Amir Hariz. Justeru kami ambil keputusan muktamad untuk mengugurkan Amir Hariz dan menggantikannya dengan Syaffiq Sahli.”



Sementara itu kata Teuku Ryzki yang diterbangkan khas dari Indonesia bagi sesi ramah- mesra dan bertemu media Malaysia ini berkata, ini adalah pengalaman pertama, jadi mereka bersemangat untuk memberikan persembahan menghiburkan.

"Ini akan menjadi konsert yang panjang durasi kerana kami akan berbual bersama peminat, jadi ia lebih 'intimate'. Ini juga pengalaman pertama kami mengadakan konsert di sini.

“Dari zaman Coboy Junior, CJR sehingga sekarang bersama TBA, ini kali pertama kami berkunjung ke Malaysia. Disebabkan itu, kami lebih bersemangat kerana kami sudah tiga kali mengadakan konsert di Singapura, berbanding Malaysia. Mungkin sebelum ini tiada yang `undang’ dan sekarang baru ada kesempatan,” katanya mengenai TBA yang akan mendendangkan sekurang-kurangnya 11 lagu dalam konsert selama dua jam tersebut.



Trio ini meniti populariti menerusi genre pop dan persembahan bertenaga ketika dikenali sebagai Coboy Junior dengan anggotanya Teuku Ryzki, Iqbaal, Bastian dan Aldi. Selain TBA peminat juga akan disajikan dengan persembahan UN1TY dan artis tempatan, Syaffiq Sahli.

Harga tiket bagi menyaksikan konsert ini bermula dari RM199 hingga RM273. Maklumat mengenai pembelian tiket untuk menonton Konsert TBA boleh didapati di evb.ubertickets.asia.
#Indonesia #Trio #Bastian Steel #Syaffiq Sahli #Alvaro Maldini #Amir Hariz #TBA #Teuku Ryzki
;