Penyanyi Sambilan Dibunuh: Mayat Ada 14 Kesan Tikaman, 1 Kena Jantung
Mangsa Alami 14 Tikaman
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesimpulan itu dibuat doktor pakar perubatan forensik yang melakukan bedah siasat mayat Ling Lu Cheng, 52, di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka bermula 9 pagi hingga 5.10 petang, Isnin lalu.
"Hasil pemeriksaan dalaman mayat, pakar perubatan forensik mengesahkan si mati mengalami 'kecederaan fatal' iaitu satu luka tikaman di dada kiri yang menembusi 'aorta interkostal' kedua dan menembusi sehingga ke 'aorta menaik' (ascending aorta).
"Ini menyebabkan pendarahan dan pengumpulan darah dalam kantung jantung sehingga menyebabkan kematiannya.
Meninggal Dunia Lebih 24 Jam Daripada Bedah Siasat
Mengulas lanjut beliau berkata, menerusi pemeriksaan fizikal mayat juga, pakar terbabit turut menemukan kesan luka hiris pada bahagian dada dan tangan kiri si mati serta lebam di dahi kirinya.
"Mangsa yang beralamat di Taman Sri Aman, Masjid Tanah itu juga disahkan meninggal dunia lebih dari 24 jam daripada waktu bedah siasatan dijalankan," katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita ditemui mati disyaki dibunuh di dalam bilik sebuah rumah teres di Jalan Seri Mangga, Pokok Mangga di sini dan polis percaya motif disebabkan perasaan cemburu suspek lelaki yang menghuni bilik sama.