Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Penyanyi ‘Sohor’ Kelantan, 5 individu Positif Dadah

Gempak
03/11/2024 11:41 MYT
Seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan bersama lima individu yang ditangkap bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Golok, Thailand kelmarin disahkan positif dadah.

Menurut sumber, sehubungan itu, keenam-enam suspek berusia antara 25 hingga 34 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Narathiwat untuk prosiding reman esok.

“Kesemua suspek dibawa dari lokap Balai Sungai Polis Golok ke Mahkamah Narathiwat kira-kira pukul 10 pagi waktu Thailand.

“Mereka sebelum ini ditempatkan di lokap balai polis berkenaan untuk tempoh 48 jam sebelum dibawa ke Mahkamah Narathiwat untuk prosiding reman esok,” katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan antara enam individu yang ditahan oleh pihak polis Thailand bersama ribuan biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok, Narathiwat kelmarin.

Tiga lelaki dan tiga wanita termasuk penyanyi terbabit ditangkap polis Thailand kira-kira pukul 5 pagi dalam satu serbuan ketika mereka berehat di sebuah bilik hotel selepas berhibur di pusat hiburan yang terletak bawah hotel tersebut.

Mereka masuk ke negara jiran itu untuk berhibur sempena cuti perayaan Deepavali.

Menurut sumber, dua lagi suspek yang sebelum itu berada di dalam bilik itu sempat meloloskan diri.

“Pemeriksaan di dalam bilik itu kemudian menjumpai sebanyak 6,000 biji pil kuda.

“Siasatan mendapati, salah seorang suspek wanita merupakan seorang penyanyi terkenal dari Kelantan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sumber itu memberitahu, kesemua suspek yang ditahan tidak membuat sebarang pengakuan mengenai pemilikan dadah tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat mengesahkan enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi wanita tersohor dari Kelantan ditahan di Golok, Thailand.

Menurutnya, penahanan kesemua suspek itu bagi membantu siasatan pihak polis Thailand berhubung kes dadah.

Sumber: Kosmo

#Penyanyi #Dadah #Kuda #Pil
;