Hiburan

Penyanyi Thailand, Deqnee Dusongnyo Ganti Eda Ezrin Nyanyi Lagu Bea Soba Bea Raya

gempak
Gempak
28/12/2024
05:50 MYT
Sponsor Banner
Penyanyi Thailand, Deqnee Dusongnyo Ganti Eda Ezrin Nyanyi Lagu Bea Soba Bea Raya
Penyanyi dari Thailand, Deqnee Dusongnyo, akan menyanyikan lagu Bea Soba Bea Raya, menggantikan Eda Ezrin yang kini masih ditahan reman di Penjara Narathiwat, Thailand.

Vokal Hampir Sama Dengan Eda

Penerbit yang juga komposer lagu terkenal, Eddie Hamid, 62, berkata, Deqnee Dusongnyo akan bergandingan dengan Den Manjo, Man Khan, dan Rosalinda bagi menyanyikan lagu Bea Soba Bea Raya yang akan menjalani proses rakaman pada minggu hadapan.
Katanya, lagu berkenaan sepatutnya menjalani proses rakaman pada 3 November lalu, namun rakaman studio ditangguhkan disebabkan Eda Ezrin ditahan Polis Thailand dalam serbuan di sebuah hotel di Pekan Sungai Golok pada 1 November.
"Bagaimanapun saya mengambil keputusan menggantikan tempat Eda Ezrin dengan Deqnee Dusongnyo kerana perlu menjalani proses rakaman secepat mungkin.

"Saya memilih Deqnee Dusongnyo disebabkan penyanyi berasal dari Thailand ini mempunyai vokal yang sesuai dan hampir sama dengan Eda Ezrin," katanya.

Eda Bakal Ada Lagu Baru

Bagaimanapun, katanya, dia masih ada menyimpan lagu ciptaan baharu untuk Eda Ezrin dan rakaman studio akan dibuat sebaik penyanyi wanita itu dibebaskan nanti.

"Saya tahu Eda Ezrin mahu menyambung semula kariernya sebagai penyanyi apabila dibebaskan dan mungkin genre lagu yang disampaikan sedikit berlainan bergantung kepada permintaannya," katanya.

Dalam perkembangan sama, Eddie berkata, kali terakhir dia berhubung dengan penyanyi wanita berkenaan pada 31 Oktober lalu mengenai lirik lagu Bea Soba Bea Raya dan Tokleh Nak Soba sebelum dia ditangkap.

"Sejak dia ditahan di Penjara Narathiwat, saya sentiasa mengikuti perkembangan kesnya dan dimaklumkan Eda Ezrin juga sudah boleh menerima keadaan sekarang berbanding sebelum ini.

"Insya-Allah pada Januari depan saya akan melawatnya di sana," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, penyanyi wanita popular di negeri ini antara enam individu yang ditahan Polis Thailand dalam serbuan di sebuah hotel di Pekan Sungai Golok pada 1 November lalu.
Penahanan penyanyi berusia 29 tahun bersama lima lagi individu itu bagi membantu siasatan berkait rampasan 6,000 biji dadah dipercayai pil kuda.
Enam suspek itu kini ditahan reman selama 84 hari atau hampir tiga bulan bagi membantu siasatan.
Penyanyi yang berasal dari Kelantan dilaporkan berkata, keluarganya menolak dua peguam dari Thailand yang meminta bayaran RM1.3 juta setiap seorang untuk mengendalikan kes beliau.
Sumber: Berita Harian
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024