BERITA

Perbicaraan Kes Pecah Amanah RM8 Juta Vivy Yusof, Suami Bermula 13 April 2026

Awani 23/06/2025 | 06:25 MYT
Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 15 hari bermula 13 April tahun depan bagi perbicaraan kes pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta membabitkan pengasas FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar.

Hakim Rosli Ahmad menetapkan 13 hingga 17 April, 18 hingga 22 Mei dan 8 hingga 12 Jun 2026 sebagai tarikh perbicaraan, selepas dipersetujui Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan peguam M Athimulan yang mewakili pasangan itu.

"Perbicaraan kes itu akan berlangsung selama 15 hari dan mahkamah menetapkan sebutan kes seterusnya pada 27 Okt ini," kata Rosli.

Wan Shaharuddin berkata sebanyak 26 saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah.

Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof dan suami, masing-masing berumur 37 tahun tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana kehadiran dikecualikan.

Pada 5 Dis tahun lepas, Vivy Sofinas dan Fadzarudin mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta.

Mereka didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah FashionValet Sdn Bhd melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB yang diamanahkan kepada mereka dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat FashionValet Sdn Bhd kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat FashionValet.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018.

Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Mereka juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu dengan niat bersama telah secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik FashionValet Sdn Bhd iaitu dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta, di lokasi dan tarikh sama.

Pasangan suami isteri itu dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebat dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sumber: Astro Awani menerusi BERNAMA

#Vivy Yusof #amanah #Pecah #Kes #Fadza Shah