Berita
"Perbuatan Ini Jahat" - Ismail Sabri Kesal Ucapan Dialih Suara
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat laporan polis berhubung berita palsu mengaitkan namanya terhadap dakwaan Malaysia tidak mengalu-alukan kedatangan rakyat Singapura.
Beliau turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung penyebaran berita palsu terbabit.
"Saya sendiri pun menjadi mangsa kepada penyebaran berita palsu kononnya tidak mengalu-alukan kedatangan rakyat Singapura ke Malaysia.
"Ini boleh mengeruhkan hubungan baik negara sahabat Malaysia dan Singapura.
"Sedangkan keadaan sebenarnya negara kita masih menutup pintu kepada semua warga asing untuk masuk ke negara kita termasuk Singapura," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, pada Sabtu.
Katanya, perbuatan itu adalah berniat jahat kerana turut mengalih suara pada video sidang media beliau.
"Saya tahu rakyat Malaysia kenal suara saya tetapi Singapura tak melihat sidang media tidak tahu. Tindakan jahat ini boleh mengeruhkan hubungan antara Malaysia dan Singapura," katanya.
Sumber: Harian Metro, mStar